DUNIA

Lebih 70 peratus rakyat Britain tolak dasar PM tempatkan migran di hotel

Bernama 25/08/2025 | 04:15 MYT
Data yang dipetik The Times menunjukkan 71 peratus pengundi Britain percaya perdana menteri menangani isu penempatan migran di hotel dengan cara yang salah. - Gambar/ Reuters
MOSCOW: Lebih 70 peratus rakyat Britain tidak bersetuju dengan dasar Perdana Menteri Keir Starmer yang menempatkan pencari suaka di hotel, menurut tinjauan YouGov untuk akhbar The Times, lapor Sputnik/RIA Novosti.


Ringkasan AI
  • Tinjauan YouGov mendapati 71 peratus rakyat Britain tidak bersetuju dengan dasar Perdana Menteri Keir Starmer menempatkan pencari suaka di hotel, termasuk 56 peratus penyokong Parti Buruh sendiri.
  • Ketidakpuasan awam dipengaruhi insiden rusuhan di Epping susulan kes rogol melibatkan seorang migran, serta kebimbangan terhadap penempatan tanpa saringan rekod jenayah di hotel seperti The Bell Hotel.
  • Hanya sembilan peratus pengundi yakin Parti Buruh mampu menangani isu imigresen, manakala 31 peratus menyokong Reform UK pimpinan Nigel Farage sebagai lebih berupaya dalam hal ini.


Data yang dipetik The Times menunjukkan 71 peratus pengundi Britain percaya perdana menteri menangani isu penempatan migran di hotel dengan cara yang salah.

Pandangan itu turut dikongsi 56 peratus penyokong Parti Buruh, parti pimpinan Starmer.

Lebih satu pertiga pengundi, atau 37 peratus menganggap masalah imigresen sebagai isu paling kritikal bagi Britain.

Pada masa sama, 31 peratus rakyat Britain percaya parti populis sayap kanan Reform UK pimpinan Nigel Farage lebih berupaya menangani isu ini.

Hanya sembilan peratus menaruh keyakinan kepada Parti Buruh dalam hal ini, manakala enam peratus percaya kepada Parti Konservatif.

Tinjauan itu dijalankan dari 20 hingga 21 Ogos melibatkan 2,153 pengundi Britain, tanpa margin ralat dinyatakan.

Pada awal Ogos, majlis bandar raya Epping menyatakan penggunaan The Bell Hotel untuk menempatkan migran tidak sejajar dengan tujuan asal premis berkenaan dan akan berusaha mengisytiharkannya sebagai menyalahi undang-undang.

Ketua majlis, Chris Whitbread menegaskan migran yang ditempatkan tidak disaring berdasarkan rekod jenayah.

Pada pertengahan Julai, rusuhan tercetus di Epping susulan perbicaraan seorang migran berusia 38 tahun yang dituduh merogol.

Ratusan penunjuk perasaan berulang kali berhimpun di hadapan The Bell Hotel dan dalam satu daripada protes, mereka bertembung dengan polis hingga membawa kepada beberapa tangkapan.

Pada akhir Julai, pihak berkuasa tempatan Epping menyeru kerajaan Britain menutup hotel-hotel yang digunakan untuk menempatkan golongan itu.

Sepanjang 2024, lebih 36,800 migran tiba secara haram di UK dengan menaiki bot merentasi Selat Inggeris.

Rekod tertinggi dicatat pada 2022 apabila lebih 45,700 migran mendarat di pantai Britain.

Pihak berkuasa UK membelanjakan beberapa juta pound sterling sehari untuk menampung pencari suaka di hotel.

-- BERNAMA

#Keir Starmer #Perdana Menteri Britain #isu pencari suaka #hotel