DUNIA

Lebih 700 penerbangan dibatalkan di lapangan terbang AS akibat penutupan kerajaan - Laporan

Bernama 07/11/2025 | 10:46 MYT
Pada Khamis, Delta Air Lines, antara syarikat penerbangan utama AS, merancang untuk membatalkan hampir 170 penerbangan pada 7 November. - AP
MOSCOW: Kira-kira 700 penerbangan dibatalkan pada Jumaat di lapangan terbang utama Amerika Syarikat (AS) berikutan penutupan kerajaan persekutuan yang berterusan, lapor NBC News yang memetik beberapa syarikat penerbangan AS, menurut Sputnik/RIA Novosti.

Pada Khamis, CNN melaporkan bahawa Delta Air Lines, antara syarikat penerbangan utama AS, merancang untuk membatalkan hampir 170 penerbangan pada 7 Nov disebabkan penutupan kerajaan.

Menurut laporan itu, ratusan penerbangan pada Jumaat telahpun dibatalkan menjelang tengah hari Khamis, dengan American Airlines membatalkan 220 penerbangan, United Airlines 188 penerbangan, Southwest Airlines kira-kira 100, dan Delta Air Lines 170 penerbangan.

Lapangan terbang yang terjejas oleh pembatalan penerbangan itu termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Chicago O'Hare, Lapangan Terbang Antarabangsa Hartsfield-Jackson Atlanta, Lapangan Terbang Antarabangsa Miami serta ketiga-tiga lapangan terbang di New York City, menurut laporan penyiar itu.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) telah mengarahkan syarikat penerbangan supaya mengurangkan jumlah penerbangan sebanyak empat peratus, dengan angka itu dijangka meningkat kepada 10 peratus menjelang Jumaat depan, menurut NBC.

Awal minggu ini, pihak berkuasa AS mengumumkan rancangan untuk mengurangkan penerbangan sebanyak 10 peratus susulan penutupan kerajaan yang berterusan, yang disifatkan oleh Presiden AS Donald Trump sebagai langkah perlu bagi memastikan keselamatan 100 peratus.

Pada 1 Okt, Kongres AS gagal meluluskan belanjawan persekutuan negara itu, memaksa kerajaan menutup sebahagian operasinya. Penutupan kerajaan di AS bermakna beberapa agensi kerajaan yang dibiayai secara langsung oleh Kongres perlu menghentikan operasi sehingga belanjawan baharu diluluskan.

Penutupan kerajaan AS kini memasuki hari ke-38 dan telah menjadi yang terpanjang dalam sejarah, mengatasi rekod terdahulu selama 35 hari semasa penggal pertama pentadbiran Trump.

-- BERNAMA

#pembatalan penerbangan #lapangan terbang AS #Amerika Syarikat #penutupan kerajaan #shutdown #operasi terjejas