[TERKINI] Polis Tahan Pengasas eHati dan Suami Susulan Dakwaan Program Motivasi Rumah Tangga Songsang – Ikuti Perkembangan Di Sini
DUNIA

Lebih 700 rakyat Palestin terbunuh ketika dapatkan air di Gaza

Bernama 15/07/2025 | 04:10 MYT
Orang ramai memeriksa lokasi serangan Israel yang mengorbankan rakyat Palestin yang sedang berkumpul untuk mengambil air dari pusat agihan, di Nuseirat, Gaza Tengah pada 13 Julai 2025. -Gambar fail/Reuters
GAZA CITY / ISTANBUL: Sejak Oktober 2023, lebih 700 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak dilaporkan terbunuh ketika cuba mendapatkan air, menurut kenyataan pihak berkuasa tempatan yang dipetik Anadolu Ajansi pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Sejak Oktober 2023, lebih 700 rakyat Palestin, kebanyakannya kanak-kanak, terbunuh ketika cuba mendapatkan air dan bantuan kemanusiaan di Gaza, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza dan laporan PBB.
  • Tentera Israel didakwa menggunakan air sebagai senjata perang dengan memusnahkan lebih 720 telaga air dan menghalang kemasukan bahan api yang diperlukan untuk operasi sistem bekalan air dan kumbahan, menyebabkan penularan penyakit dan krisis kesihatan awam.
  • Pihak berkuasa Gaza menyeru campur tangan segera masyarakat antarabangsa untuk menghentikan pencabulan hak asasi ini dan membenarkan pemulihan sistem air serta kemasukan bantuan penting ke wilayah yang kini di ambang kebuluran.


"Israel terus melancarkan perang sistematik dan disengajakan melalui taktik kehausan terhadap rakyat Palestin di Gaza, satu pencabulan nyata terhadap semua konvensyen antarabangsa dan prinsip kemanusiaan," menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Pihak berkuasa Palestin menuduh tentera Israel menggunakan air sebagai senjata perang dengan tujuan menafikan hak asasi paling asas rakyat Palestin.

Kenyataan itu turut menyebut bahawa tentera Israel melakukan 112 pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Gaza ketika mereka cuba mendapatkan air, dengan lebih 700 orang terbunuh, majoritinya kanak-kanak.

Insiden terbaharu berlaku pada Ahad lalu, apabila sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh ketika beratur mendapatkan air di Kem Pelarian Nuseirat, Gaza Tengah.

Pejabat media turut mendedahkan bahawa lebih 720 telaga air di Gaza dimusnahkan secara sengaja oleh tentera Israel, menyebabkan lebih 1.25 juta penduduk hilang akses kepada air bersih.

Selain itu, tentera Israel juga didakwa menghalang kemasukan 12 juta liter bahan api setiap bulan - jumlah minimum yang diperlukan untuk mengoperasikan telaga air, stesen kumbahan, sistem pelupusan sisa dan sektor penting lain.

"Tindakan ini melumpuhkan sepenuhnya sistem bekalan air dan kumbahan, sekali gus menyebabkan penularan wabak penyakit, khususnya dalam kalangan kanak-kanak," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa Gaza menggesa masyarakat antarabangsa dan pertubuhan hak asasi manusia bertindak segera bagi menghentikan penggunaan air sebagai senjata perang oleh Israel, serta membenarkan kemasukan bahan api dan peralatan yang diperlukan untuk membaik pulih telaga dan sistem saliran.

Sejak 2 Mac lalu, Israel terus menutup semua laluan keluar masuk ke Gaza termasuk bagi bantuan makanan, perubatan dan kemanusiaan - tindakan yang memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan menjejaskan kira-kira 2.4 juta penduduk wilayah itu.

Sekatan berterusan mengakibatkan Gaza di ambang kebuluran, dengan semakin banyak kematian dilaporkan akibat kelaparan.

Tentera Israel terus melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, dengan jumlah korban kini melebihi 58,000 rakyat Palestin - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

-- BERNAMA





#bekalan air #Gaza #Palestin #bantuan kemanusiaan