AMAZON: Lebih daripada 100 ikan lumba-lumba atau dolphin dilaporkan mati dalam tempoh sebulan terakhir di hutan Amazon, Brazil akibat kemarau teruk yang melanda kawasan tersebut.

Kejadian ini menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa dan penyelidik terhadap ekosistem alam di Amazon yang semakin terancam.

Institut Mamiraua, sebuah badan penyelidikan di bawah Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi Brazil, telah melaporkan bahawa dua lagi ikan lumba-lumba yang mati ditemui pada Isnin di kawasan Danau Tefe, yang merupakan kawasan habitat mamalia berkenaan.

Malah, lapor media tempatan, ribuan ikan lumba-lumba ditemui mati dalam keadaan yang sama.

Selain itu, kebanyakan pakar percaya bahawa suhu tinggi air adalah punca utama kematian dalam kawasan tersebut.

Difahamkan, suhu air telah mencecah 39 darjah Celsius (102 darjah Fahrenheit) di beberapa kawasan sekitar.

Menurut seorang penyelidik mamalia berkenaan, Miriam Mamontel, beliau tidak pernah melihat perkara terjadi dalam tempoh 30 tahun penyelidikkanya berkenaan ikan lumba-lumba.

Ujarnya lagi, jumlah kematian ini menyamai 5 hingga 10 peratus daripada populasi dua spesies lumba-lumba air tawar di Danau Tefe.

Institut Mamiraua telah memberi amaran bahawa suhu air mungkin akan meningkat lagi dalam beberapa hari akan datang dan boleh menjejaskan lebih banyak haiwan di kawasan terjejas.

Dalam pada itu, wilayah Amazon menghadapi kemarau teruk yang telah menjejaskan 60 daripada 62 bandar di negeri tersebut, menyebabkan banyak komuniti terputus hubungan, susulan sungai merupakan pengangkutan utama di wilayah berkenaan.