Lebih ramai rakyat Sudan tinggalkan Kordofan Selatan - IOM

Konflik antara tentera Sudan dan RSF, yang bermula pada April 2023, telah mengorbankan ribuan nyawa dan mengakibatkan berjuta-juta yang lain terpaksa berpindah. - Gambar fail/ Reuters
KHARTOUM/ISTANBUL: Lebih 900 orang telah meninggalkan negeri Kordofan Selatan di selatan Sudan sejak tiga hari lepas susulan keadaan keselamatan yang semakin merosot, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
Dalam kenyataan berasingan, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata pasukan penjejak pemindahannya menganggarkan seramai 365 orang melarikan diri dari Bandar Kadugli antara 11 hingga 13 Disember ekoran keadaan keselamatan yang merosot.
Seramai 85 orang lagi dipindahkan dari Pekan al-Kuwayk di kawasan luar bandar timur Kordofan Selatan dalam tempoh sama, menurut pertubuhan itu.
IOM berkata seramai 455 lagi orang melarikan diri dari Bandar Dilling dalam tempoh tiga hari yang sama akibat keadaan tidak selamat yang semakin memuncak.
Keluarga-keluarga itu berpindah ke pelbagai lokasi, terutamanya di negeri Kordofan Utara, serta negeri Nil Putih di selatan dan negeri Khartoum di tengah Sudan, menurut pertubuhan berkenaan.
IOM berkata keadaan kekal sangat tidak menentu dan tegang, sambil menambah bahawa ia memantau rapi perkembangan di lapangan.
Peningkatan perpindahan di Kordofan Selatan berlaku apabila pertempuran semakin hebat antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF), bersama sekutu mereka, Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan-Utara (SPLM-N).
Anggaran PBB menunjukkan lebih 41,000 orang melarikan diri daripada keganasan yang memuncak di Kordofan Utara dan Selatan sepanjang November.
Ketiga-tiga negeri Kordofan - Utara, Barat, dan Selatan - menyaksikan minggu-minggu pertempuran sengit antara tentera dan RSF, mendorong puluhan ribu orang melarikan diri.
Daripada 18 negeri Sudan, RSF mengawal kesemua lima negeri Wilayah Darfur di barat, kecuali beberapa bahagian utara Darfur Utara yang kekal di bawah kawalan tentera.
Tentera pula menguasai kebanyakan kawasan di 13 negeri lain di selatan, utara, timur, dan tengah, termasuk ibu negara Khartoum.
Konflik antara tentera Sudan dan RSF, yang bermula pada April 2023, telah mengorbankan ribuan nyawa dan mengakibatkan berjuta-juta yang lain terpaksa berpindah.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


