DUNIA

Lee, Ishiba setuju tangani krisis geopolitik melalui kerjasama tiga hala bersama AS

Bernama 09/06/2025 | 21:15 MYT
Presiden Lee (kanan) dan Perdana Menteri Ishiba turut mengesahkan semula kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara jiran. - Reuters
SEOUL: Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung dan Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bersetuju untuk menangani krisis geopolitik di bawah rangka kerja kerjasama tiga hala bersama Amerika Syarikat (AS) dalam perbualan telefon pertama mereka pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik Pejabat Presiden.

Dalam perbualan selama 25 minit itu, Lee dan Ishiba turut mengesahkan semula kepentingan hubungan dua hala antara kedua-dua negara jiran dan menyatakan harapan untuk bertemu secara bersemuka dalam masa terdekat, menurut jurucakap Presiden Kang Yu-jung kepada wartawan.

"Lee menyatakan harapan agar kedua-dua negara dapat bekerjasama untuk meneroka pendekatan yang saling menguntungkan dalam menangani cabaran masa depan berdasarkan kepentingan nasional bersama," kata Kang.

Lee yang mengamalkan dasar luar yang "pragmatik" dan Ishiba berkongsi pandangan tentang keperluan membina hubungan dua hala yang lebih "kukuh dan matang" berasaskan "saling menghormati, mempercayai dan bersikap bertanggungjawab," kata Kang.

Sempena ulang tahun ke-60 pemulihan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang akan disambut akhir bulan ini, Lee dan Ishiba turut bersetuju untuk menggalakkan pertukaran rakyat dan meningkatkan komunikasi antara kerajaan mereka.

Antara lokasi yang berpotensi untuk pertemuan pertama mereka ialah Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 17 Jun dan Lee dijemput sebagai tetamu.

Sejak memegang jawatan, Lee menekankan kepentingan kesinambungan dasar dalam menangani hubungan dengan Jepun, sekali gus memberi isyarat untuk mengekalkan pendekatan pentadbiran Yoon Suk Yeol sebelum ini dalam isu buruh paksa semasa zaman perang, yang membantu meredakan ketegangan antara Seoul dan Tokyo.

Ini adalah panggilan telefon kedua Lee dengan pemimpin asing, selepas perbualan pertamanya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Jumaat.

Pejabat Presiden Korea Selatan juga sedang mengatur perbualan telefon dengan Presiden China, Xi Jinping, menurut seorang pegawai kanan Presiden.

-- BERNAMA






#Lee Jae-myung #Shigeru Ishiba #krisis geopolitik #kerjasama #Jepun #Korea Selatan #Amerika Syarikat