[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
DUNIA

Lee Jae-Myung dahului calon lain pada Pilihan Raya Presiden Korea Selatan

Astro Awani 03/06/2025 | 13:01 MYT
Tinjauan awal menunjukkan Lee Jae-Myung mendahului dengan 51.7 peratus, mengatasi calon lain. - Reuters.
SEOUL: Lee Jae-Myung dari Parti Demokratik dijangka memenangi Pilihan Raya Presiden Korea Selatan yang dijalankan secara mengejut pada Selasa, menurut tinjauan.
Media melaporkan, Jae-Myung mendahului 51.7 peratus, mengatasi pemimpin Parti Kuasa Rakyat Kim Moon-soo pada 39.3 peratus dan parti konservatif Lee Jun-seok yang memperoleh 7.7 peratus.
Pilihan raya mengejut dilaksanakan dua bulan selepas bekas Presiden Yoon Suk Yeol disingkirkan pada 4 April berikutan tindakannya mengenakan undang-undang tentera secara drastik pada Disember 2024.
Jae-Myung berkempen untuk menamatkan sengketa politik dan mengkritik tindakan Suk Yeol yang menguatkuasakan undang-undang drakonian itu.
Pada 14 Disember 2024 Suk Yeol telah disingkirkan daripada jawatannya oleh Dewan Kebangsaan Korea Selatan dengan undi 204 daripada 300 ahli Dewan Rakyat.
Mahkamah Perlembagaan negara itu secara rasmi memecat Yoon pada 4 April, menyebabkan pilihan raya presiden yang dijadual bermula pada 3 Mac 2027 diawalkan kepada 3 Jun.
Kempen Jae-Myung dengan slogan "Mulai Sekarang, Republik Korea yang sebenar, kini Lee Jae-myung" dilihat mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat umum sepanjang tempoh kempen pilihan raya yang telah bermula pada 8 April.
Ini merupakan kali ketiga Jae-Myung bertanding untuk jawatan presiden.
Jumlah keseluruhan pusat mengundi ialah 14,295, dengan pemilih yang layak berjumlah 44.39 juta, di mana 15.42 juta telah menyertai pengundian awal yang dijalankan pada 26 - 27 Mei lalu.
Presiden baharu akan mengangkat sumpah serta-merta tanpa tempoh peralihan.
Majlis angkat sumpah dijangka berlangsung beberapa jam kemudian di Dewan Kebangsaan Korea Selatan, namun butiran lanjut akan diumumkan selepas keputusan rasmi diketahui.
#Dewan Rakyat #Korea Selatan #Korea #pilihan raya #presiden