Pemimpin-pemimpin dunia hari ini memberikan ucapan takziah dan penghormatan terakhir kepada pengasas Singapura, Lee Kuan Yew yang meninggal dunia pada Isnin.

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama berkata Lee ialah ‘gergasi sebenar sejarah’.

“Seorang yang berwawasan yang mengetuai negaranya sejak kemerdekaan Singapura pada tahun 1965 untuk membina satu negara yang paling makmur di dunia hari ini, beliau adalah seorang penjawat awam yang taat setia dan seorang pemimpin yang luar biasa.

“Dia ialah seorang gergasi sebenar sejarah yang akan diingati untuk generasi akan datang sebagai bapa Singapura moden dan sebagai ahli strategi terbesar hal ehwal Asia,” kata Obama di dalam satu kenyataan.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, George Bush berkata “Saya akan sentiasa berbangga bahawa Lee Kuan Yew adalah kawan saya."

Sementara itu, bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair berkata Lee Kuan Yew adalah seorang pemimpin luar biasa di zaman yang moden ini.

"Dia ialah seorang gergasi politik yang sebenar. Beliau merupakan orang pertama untuk memahami bahawa politik moden adalah mengenai kerajaan yang berkesan dan bukan ideologi lama.”

Perdana Menteri New Zealand John Key berkata “Lee Kuan Yew adalah seorang tokoh yang mempunyai sifat yang tidak ada pada ramai orang, yang menyatukan rakyat Singapura. Kehilangan beliau akan sentiasa dirasai oleh keluarga dan rakyat Singapura.”

Bekas Perdana Menteri Kevin Ruud berkata “Dengan pemergian Lee Kuan Yew, Singapura telah kehilangan pemimpin yang memberi petunjuk kepada negara itu sejak 50 tahun dari kemerdekaannya sejak 1965,” katanya di laman Twitternya.