ABUJA: Sekurang-kurangnya 25 ahli kumpulan koir gereja diculik oleh lelaki bersenjata di Ondo, Nigeria, kata polis tempatan pada Sabtu, lapor Xinhua.

Mangsa dilaporkan diculik ketika dalam perjalanan ke upacara pengebumian di kawasan kerajaan tempatan Ose.

Jurucakap polis di Ondo, Olufunmilayo Odunlami-Omisanya, mengesahkan kejadian itu berlaku pada Jumaat.

Beliau berkata skuad antipenculikan polis dan pasukan taktikal lain telah dikerahkan ke kawasan itu untuk menyelamatkan mangsa dan menahan semua yang terlibat dalam jenayah itu.

Polis telah bekerjasama dengan agensi keselamatan lain dan misi menyelamat menyaksikan kemajuan katanya, tanpa memberikan jumlah sebenar mangsa yang diselamatkan.

-- BERNAMA