Skip to main content

Dunia

Lelaki bertopeng anak patung menyeramkan cetus kebimbangan penduduk Philadelphia

JUST IN: Masked man accused of terrorizing Philadelphia residents remains on the run after chasing people near City Hall & asking one woman if she was “ready to die.”_X @Polymarket
Polis turut mengeluarkan rakaman video dan gambar suspek yang dirakam kamera pengawasan bagi membantu orang ramai mengenal pasti identitinya. - Foto X/@Polymarket
Advertisement

PHILADELPHIA: Polis Philadelphia sedang memburu seorang lelaki yang didakwa mengganggu dan mengejar orang awam sambil memakai topeng anak patung yang menyeramkan, mirip watak fiksyen terkenal, Chucky.

Menurut Jabatan Polis Philadelphia, suspek dipercayai terlibat dalam beberapa insiden berhampiran kawasan City Hall minggu lalu, termasuk membuat ugutan terhadap sekurang-kurangnya enam individu.

Siasatan mendapati lelaki itu memakai topeng anak patung yang menakutkan dan menghampiri mangsa secara tiba-tiba sebelum mengeluarkan kata-kata berbaur ancaman.

Dalam satu kejadian, suspek dilaporkan bertanya kepada seorang wanita sama ada dia "bersedia untuk mati", menurut maklumat yang dikongsi polis kepada media tempatan.

Polis turut mengeluarkan rakaman video dan gambar suspek yang dirakam kamera pengawasan bagi membantu orang ramai mengenal pasti identitinya.

Salah satu insiden yang disiasat berlaku pada 12 Ogos kira-kira jam 5.30 pagi waktu tempatan, apabila seorang wanita yang sedang berjoging dikejar oleh lelaki bertopeng tersebut.

Menurut polis, suspek membuat kenyataan mengancam sambil meletakkan sebelah tangannya di belakang badan, menyebabkan mangsa panik sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.

Selepas kejadian itu, lelaki berkenaan dilaporkan melarikan diri ke sebuah stesen kereta api bawah tanah berhampiran.

Ketua Polis Philadelphia, Kapten Jason Smith, berkata suspek dipercayai turut merakam beberapa insiden tersebut menggunakan telefon bimbit yang dilengkapi lampu.

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat memastikan sama ada tindakannya mempunyai kaitan dengan trend media sosial atau sekadar tindakan individu.

Suspek berdepan beberapa pertuduhan, termasuk membuat ugutan yang menimbulkan ketakutan, serangan ringan dan kesalahan lain.

Sementara itu, seorang penduduk, Luanda Marinho, berkata dia pernah terserempak dengan lelaki berkenaan ketika bertemu rakannya untuk berjoging pada waktu pagi.

Menurutnya, suspek berulang kali mengajak mereka berlumba lari, namun mereka memilih untuk tidak melayannya.

"Dia beberapa kali bertanya sama ada kami mahu berlumba dengannya dan mendakwa dia lebih pantas. Kami tidak mengendahkannya kerana tingkah lakunya kelihatan pelik," katanya.

Marinho berkata kejadian itu membuatkan dia dan rakannya mempertimbangkan untuk menukar laluan larian mereka pada masa depan.

"Ia terasa seperti satu permainan yang ganjil dan mengganggu," katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai identiti atau lokasi suspek supaya tampil membantu siasatan.

 

 

Must Watch Video

Advertisement