DUNIA

Lelaki AS didakwa selepas lebih 100 set rangka manusia ditemukan di rumah, unit penyimpanan

Bernama 10/01/2026 | 22:10 MYT
Foto tidak bertarikh mempamerkan wajah Jonathan Gerlach dikeluarkan Pejabat Peguam Daerah Delaware County. (Foto AP)
ANKARA: Seorang lelaki berusia 34 tahun di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) berhadapan dengan lebih 450 pertuduhan jenayah selepas pihak berkuasa menemukan lebih 100 rangka manusia, sama ada lengkap atau separa lengkap, di rumah dan sebuah unit penyimpanan, lapor Anadolu Ajansi.

Jonathan Gerlach, dari Daerah Ephrata, ditahan pada petang Selasa ketika sedang meninggalkan Tanah Perkuburan Mount Moriah berhampiran Philadelphia dengan membawa sebuah beg guni dan sebatang kuku kambing, menurut satu kenyataan pejabat pendakwa raya daerah.

Pihak pendakwaan berkata polis yang sedang melakukan pengawasan di kawasan perkuburan itu menemukan pelbagai tulang dan tengkorak di dalam kenderaan Gerlach.

"Detektif seolah-olah melangkah masuk ke dalam set filem seram yang menjadi kenyataan," kata Pendakwa Raya Daerah Tanner Rouse sambil menambah bahawa tiada seorang pun daripada pegawainya pernah menyaksikan perkara seumpama itu sebelum ini.

Rouse berkata sisa rangka yang ditemukan termasuk rangka bayi serta individu yang telah meninggal dunia ratusan tahun dahulu.

"Ada yang berusia beberapa bulan, ada yang berusia berabad-abad. Kami masih cuba mengenal pasti identiti mereka, dari mana mereka berasal, dan berapa jumlah sebenar rangka yang terlibat," katanya.

Gerlach didakwa mengaku mencuri kira-kira 30 rangka manusia, namun penyiasat percaya lebih 100 set rangka ditemukan secara keseluruhan.

Suspek berhadapan dengan lebih 100 pertuduhan bagi setiap kesalahan membabitkan penderaan mayat, mencuri dan menerima harta curi.

Ikat jamin ditetapkan sebanyak US$1 juta dan hadap-tuduh Gerlach dijadualkan pada 20 Jan ini.

-- BERNAMA

#Jonathan Gerlach #rangka manusia #Amerika Syarikat #curi rangka manusia