DUNIA

Lelaki Florida mengaku tidak bersalah cetus kebakaran Palisades di Los Angeles

Bernama 24/10/2025 | 09:43 MYT
Jonathan Rinderknecht (gambar kecil) berdepan pertuduhan memusnahkan harta benda dengan api, melakukan pembakaran yang menjejaskan perdagangan antara negeri serta membakar kawasan hutan. - AP
ISTANBUL: Seorang lelaki Florida yang dituduh mencetuskan kebakaran dahsyat Palisades di Los Angeles pada Januari lalu mengaku tidak bersalah pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jonathan Rinderknecht, 29, berdepan pertuduhan memusnahkan harta benda dengan api, melakukan pembakaran yang menjejaskan perdagangan antara negeri serta membakar kawasan hutan, dengan pihak pendakwa memberi amaran bahawa sabitan boleh membawa hukuman penjara antara lima hingga 45 tahun.

Semasa penampilan pertamanya di mahkamah Los Angeles, peguam bela Rinderknecht, Steven Haney, memohon agar anak guamnya dibebaskan dengan alasan dia tiada rekod jenayah, serta tidak mempunyai masalah kesihatan mental atau penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, Hakim Majistret Amerika Syarikat, Rozella A. Oliver, mengekalkan perintah hakim Florida pada 9 Okt lalu untuk menahannya.

Sebelum perbicaraan bermula, Rinderknecht meminta untuk bercakap mengenai penahanannya, menyebabkan mahkamah berehat seketika.

Dia kemudian kembali dan membuat pengakuan tidak bersalah, dengan perbicaraan dijadual bermula pada 16 Dis dan dijangka berlangsung selama tujuh hingga 10 hari.

Rinderknecht didakwa memulakan kebakaran kecil pada Hari Tahun Baharu di bawah tanah sebelum kembali marak dan merebak ke kawasan Pacific Palisades -- kawasan kediaman mewah di Los Angeles.

Kebakaran kecil itu kembali marak seminggu kemudian yang meragut 12 nyawa dan memusnahkan 6,837 struktur, kebanyakannya rumah kediaman.

-- BERNAMA

#kebakaran #Palisades #Florida #lelaki didakwa #punca kebakaran besar