Lelaki kaku ketakutan, cheetah lompat masuk kereta

Agensi
Mac 29, 2018 22:51 MYT
Seekor cheetah melompat masuk ke dalam kereta dinaiki Britton Hayes dalam insiden di Taman Negara Serengeti, Afrika. - Foto Facebook/EJKOMO
SEORANG pencinta safari tidak dapat menggambarkan 'ketakutan' apabila sekurang-kurangnya dua ekor cheetah melompat masuk ke dalam keretanya.
Insiden menggemparkan itu berlaku di Taman Negara Serengeti, Afrika awal bulan ini apabila Britton Hayes kaku ketakutan ketika haiwan buas itu muncul secara tiba-tiba di tempat duduk belakang keretanya.
"Malah, salah satu cheetah melompat ke hadapan kereta manakala seekor lagi melompat masuk ke dalam kereta di bahagian belakang.
"Seekor cheetah yang melompat ke dalam kereta itu turut 'menghidu' seperti mahu memastikan kami bukan ancaman," katanya seperti lapor Mirror.co.uk.
Hayes menjelaskan, situasi itu merupakan saat paling menakutkan dalam hidupnya.
"Saya berasa saya perlu mengosongkan fikiran kerana apa yang pernah diberitahu, haiwan pemangsa seperti cheetah ini dapat menghidu perasaan takut.
"Saya takut untuk mati tetapi saya tidak pernah merasa hidup (lebih lama)," katanya.
Bagaimanapun, sekumpulan cheetah itu meninggalkannya lalu 'berkenduri' menjamah rusa gazel.
#Afrika #Britton Hayes #Cheetah #gazel #isu semasa #kaku #menakutkan #pemangsa #Serengeti #takut