DUNIA

Lelaki Malaysia ditahan di Singapura selepas lebih 18,000 vape dirampas daripada lori

Bernama 16/09/2025 | 14:45 MYT
Rokok elektronik dan komponen berkaitan dipunggah dari trak oleh pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di Pusat Pemeriksaan Tuas, semalam. - Gambar ICA
SINGAPURA: Seorang lelaki Malaysia ditahan selepas pihak berkuasa di Linkedua Tuas menggagalkan cubaan menyeludup lebih 18,400 rokok elektronik (vap) dan 1,400 komponen berkaitan ke Singapura dengan sebuah lori pada Isnin.

Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) berkata rampasan itu merupakan yang terbesar melibatkan penyeludupan vap di pusat pemeriksaan darat Singapura sejak hukuman lebih berat dikuatkuasakan pada 1 Sept lepas.

"Barang rampasan dan suspek telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Sains Kesihatan untuk siasatan lanjut," kata ICA dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Agensi itu memaklumkan lori berdaftar di Malaysia berkenaan telah dikesan oleh Pusat Penyasaran Bersepadu ICA melalui penilaian risiko sebelum ketibaan dan diarahkan menjalani pemeriksaan ketat.

Hasil pemeriksaan, pegawai menemukan barangan terlarang itu yang disembunyikan dalam lori terbabit yang diisytiharkan membawa "komponen untuk bidai luaran bermotor".

Pada Ogos lepas, ICA memaklumkan pemeriksaan di pusat pemeriksaan udara, darat dan laut telah diperketat bagi mengesan dan menghalang cubaan penyeludupan vap, sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu seluruh kerajaan membasmi produk terbabit.

-- BERNAMA


#Facebook #Imigresen #vap #pemeriksaan ketat