[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Lelaki maut selepas naiki roller coaster di taman tema baharu Florida

Astro Awani 19/09/2025 | 01:30 MYT
Para pengunjung menaiki roller coaster Stardust Racers di Taman Tema Epic Universe, Universal Resort Orlando. - Foto AP
ORLANDO: Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an dilaporkan maut selepas menaiki roller coaster di taman tema baharu Universal Epic Universe di Orlando, Florida.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki dalam lingkungan 30-an meninggal dunia selepas menaiki permainan Stardust Racers di taman tema baharu Universal Epic Universe, Orlando.
  • Mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di hospital. Punca kematian belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.
  • Permainan berkelajuan tinggi itu kini ditutup sementara. Ini merupakan insiden ketiga sejak pembukaan Epic Universe, yang kini menjadi tumpuan siasatan keselamatan.


Insiden berlaku pada hari Rabu apabila mangsa menjadi tidak responsif sejurus selepas menaiki permainan berkelajuan tinggi, Stardust Racers.

Menurut kenyataan rasmi daripada Universal Orlando Resort, mangsa telah dibawa ke hospital berdekatan selepas ditemui tidak sedarkan diri oleh pegawai keselamatan yang bertugas.

Beliau disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Punca kematian masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan oleh Pejabat Sheriff Orange County.

Permainan Stardust Racers, yang digambarkan sebagai roller coaster pelancaran berkembar dengan kelajuan sehingga 100 km/j, kini ditutup sementara waktu.

Ia merupakan salah satu tarikan utama di Epic Universe, taman tema pertama yang dibuka di Florida sejak lebih dua dekad lalu.

Jurucakap Universal menyatakan, “Kami amat sedih dengan kejadian tragis ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Kami akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan”.

Epic Universe dibuka pada Mei 2025 dan menampilkan lima zon bertema termasuk Nintendo World dan Wizarding World of Harry Potter: Ministry of Magic.

Taman ini juga menempatkan hotel 500 bilik dan dijangka menjadi pesaing utama kepada Walt Disney World Resort.

Florida membenarkan taman tema besar seperti Universal dan Disney menjalankan pemeriksaan keselamatan mereka sendiri, namun mereka diwajibkan melaporkan sebarang kecederaan atau kematian kepada pihak berkuasa negeri.

Sejak pembukaan Epic Universe, ini merupakan insiden ketiga yang dilaporkan melibatkan kesihatan pengunjung selepas menaiki permainan.







#Stardust Racers #roller coaster #meninggal dunia #Epic Universe