'Lelaki Pokok' dari Bangladesh kembali ke hospital selepas ketumbuhan merebak semula

Agensi
Januari 20, 2019 21:46 MYT
Bajandar pernah melarikan diri dari rawatan di hospital kerana mahu mencuba rawatan alternatif. - Media sosial
Seorang lelaki Bangladesh yang digelar sebagai ‘Lelaki Pokok’ kerana mengalami masalah ketumbuhan seumpama tekstur kulit pokok di tubuhnya, kembali mendapatkan rawatan di hospital pada Ahad (20 Januari) selepas keadaannya semakin buruk.
Agensi berita AFP melaporkan, Abul Bajandar pernah menjalani 25 pembedahan sejak tahun 2016 untuk membuang ketumbuhan dari kedua-dua tangan dan kakinya di Hospital Kolej Perubatan Dhaka.
Para doktor hampir mengisytiharkan rawatan mereka berjaya sebelum ketumbuhan pada tubuh Bajandar kembali merebak. Insiden itu membuatkan Bajandar melarikan diri pada Mei tanpa diketahui petugas klinik.
Namun, pada Ahad, dia kembali dimasukkan ke hospital selepas keadaannya semakin buruk, dengan ketumbuhan itu kini merebak hampir ke seluruh tangan dan kakinya.
"Saya melakukan kesilapan dengan meninggalkan hospital. Saya mahu mencuba rawatan alternatif namun tidak menemuinya. Saya kini menyedari bahawa saya sepatutnya kekal di sini untuk emenrima rawatan,” ujar lelaki berusia 28 tahun itu.
Doktor pembedahan plastik, Samanta Lal Sen, berkata doktor akan merawat Bajandar secepat mungkin.
Perdana Menteri Sheikh Hasina menjanjikan Bajandar rawatan percuma selepas kisahnya tular di seluruh negara dan meraih simpati ramai.
Bajandar yang mempunyai seorang anak itu menderita penyakit epidermodysplasia verruciformis, iaitu masalah genetik ekstrem yang jarang berlaku, dan turut dikenali sebagai ‘sindrom lelaki pokok’.
Di seluruh dunia, kurang daripada enam orang mengalami situasi tersebut.
#Abul Bajandar #Bangladesh #epidermodysplasia verruciformis #Hospital #kesihatan #ketumbuhan #lelaki pokok #rawatan