Seorang wanita muncul sebagai wirawati apabila menjadikan lirik lagu Linkin Park, One More Light sebagai usaha memujuk seorang lelaki yang hampir bunuh diri.

Christina Settanni ketika itu sedang memandu di Florida, Amerika Syarikat (AS) apabila ternampak lelaki berkenaan yang duduk di hujung sebuah jambatan sebelum terjun pada minggu lalu.

Dia lalu memberhentikan kenderaannya dan mendekati lelaki berkenaan yang dilihatnya sedang murung.

Settani kemudiannya mendekati lelaki itu lalu duduk di sebelah seraya memujuknya dengan menyanyikan bait-bait lirik lagu One More Light.



Antara bait lirik berkenaan yang membawa maksud “siapa yang peduli jika lagi satu lampu terpadam? Saya kisah” membuatkan lelaki itu tersentuh lalu menangis.

“Saya pernah berada di situasi seperti itu, saya memahami dia memerlukan seseorang di sisinya,” kata Settanni ketika ditemu bual wartawan.

Polis yang tiba di tempat kejadikan tidak lama selepas itu membawa lelaki berkenaan ke pusat pemulihan mental untuk rawatan.


Susulan itu, kumpulan Linkin Park memuat naik video di laman Facebook untuk mengucapkan terima kasih kepada Settanni yang telah menyelamatkan nyawa seorang lelaki.

Peristiwa ini sangat signifikan dengan kes kematian penyanyi utama Linkin Park, Chester Bennington yang meninggal dunia pada 2017 akibat bunuh diri.

Bennington ketika hayatnya dilaporkan berhadapan dengan masalah pengambilan dadah dan kemurungan yang serius


Sementara itu, orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.