NARATHIWAT: Seorang lelaki warga Thailand ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung siri serangan terancang di 51 lokasi di tiga wilayah selatan Thailand pada malam Sabtu.
Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, lelaki itu ditahan untuk disoal siasat selepas pihak berkuasa Thailand mengenal pasti suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di Narathiwat.
"Dia ditahan untuk disoal siasat dan keterangannya direkodkan oleh polis Thailand," katanya ketika dihubungi malam tadi.
Difahamkan, lelaki terbabit ditahan selepas rakaman CCTV didakwa menunjukkan dia memecahkan kamera keselamatan di daerah Cho-airong.
Bagaimanapun, lelaki itu menafikan terbabit dalam kejadian berkenaan walaupun terdapat rakaman berhubung perbuatannya.
Prayong berkata, rakyat Malaysia khususnya penduduk Kelantan tidak perlu bimbang susulan kejadian itu kerana pihak berkuasa Thailand sudah meningkatkan kawalan keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.
"Pelancong boleh melakukan perjalanan ke selatan Thailand seperti biasa dan kami memastikan keselamatan mereka," ujarnya.
Beliau menambah, sasaran utama serangan terbabit bukan orang awam, sebaliknya anggota keselamatan.
Sementara itu, hasil pemeriksaan pasukan forensik Thailand di landasan kereta api yang rosak akibat letupan bom antara stesen Maruebo dan Tanyong Mat telah menemukan tiga alat letupan buatan sendiri (IED).
Satu daripada alat berkenaan merosakkan landasan kereta api, manakala dua lagi ditemukan berhampiran tiang elektrik.