INTERNATIONAL

Letupan besar gegarkan pelabuhan di selatan Iran, punca masih disiasat

Bernama 26/04/2025 | 11:39 MYT
asukan tindak balas segera dihantar ke lokasi kejadian, dan operasi pelabuhan digantung sementara bagi membolehkan pasukan keselamatan dan kecemasan mengawal keadaan.
TEHRAN: Satu letupan besar dilaporkan berlaku di Pelabuhan Shahid Rajaee, selatan Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan pada Sabtu, dan pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Pelabuhan yang mempunyai kepentingan strategik itu terletak di Wilayah Hormozgan, kira-kira 15 kilometer ke barat daya Pelabuhan Bandar Abbas di pesisir utara Selat Hormuz.

Letupan itu dilaporkan berlaku pada kira-kira 12.30 tengah malam waktu tempatan (2100GMT) pada Sabtu.

Menurut Agensi Berita Tasnim, letupan mungkin berpunca daripada letupan sebuah tangki bahan api, namun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini.

Laporan itu menyatakan pasukan tindak balas segera dihantar ke lokasi kejadian, dan operasi pelabuhan digantung sementara bagi membolehkan pasukan keselamatan dan kecemasan mengawal keadaan.

Setakat ini, tiada maklumat rasmi mengenai jumlah korban atau kecederaan, namun media tempatan melaporkan letupan berkenaan sangat kuat sehingga berkemungkinan menyebabkan kerosakan besar.

Sementara itu, Agensi Berita Fars memetik pegawai tempatan di Hormozgan sebagai berkata letupan berlaku di sebahagian kawasan dermaga Pelabuhan Shahid Rajaee, dan usaha memadamkan kebakaran sedang giat dijalankan.

-- BERNAMA

#letupan #pelabuhan shahid rajaee #Iran #siasatan