Letupan bom di perhimpunan parti politik, 10 terbunuh, lebih 50 cedera di Pakistan

Bernama
Julai 30, 2023 14:40 MYT
Perhimpunan politik yang diadakan di daerah Bajaur di Pakistan dicemari dengan insiden letupan bom yang meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan lebih 50 lagi cedera. - Foto AP
ISLAMABAD: Perhimpunan politik yang diadakan di daerah Bajaur di Pakistan dicemari dengan insiden letupan bom yang meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa dan lebih 50 lagi cedera, lapor kepada Xinhua.
Kejadian berlaku di perhimpunan politik Jamiat Ulema-e-Islam-Fazl (JUI-F) berhampiran kawasan Shanday Mor di Jalan Munda Khar Bajaur, sebuah daerah di wilayah Khyber Pakhtunkhwa yang bersempadan dengan Afghanistan, menurut jurucakap Rescue 1122, Bilal Faizi.
Jumlah kematian mungkin meningkat memandangkan 15 mangsa yang cedera berada dalam keadaan kritikal.
Beliau berkata lapan ambulans terlibat dalam misi menyelamat selain menerima bantuan daripada pasukan penyelamat dari kawasan berdekatan.
Menurut laporan media tempatan, kira-kira 500 orang hadir pada perhimpunan itu dan letupan berlaku semasa pemimpin tempatan sedang berucap.
Polis dan pasukan keselamatan telah mengepung kawasan itu dan melancarkan operasi mencari.
Punca kejadian belum dikenal pasti dan belum ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian itu.
-- BERNAMA
#letupan bom #perhimpunan parti politik #Bajaur Pakistan #Jamiat Ulema-e-Islam-Fazl