DUNIA
Letupan cetus insiden rempuhan di sekolah ragut 29 nyawa di Afrika Tengah
Kejadian berlaku selepas sebuah transformer kuasa meletup berhampiran sekolah berkenaan ketika 5,311 pelajar sedang menduduki peperiksaan. - Gambar/ Sinar Harian/ Agensi
BANGUI (Republik Afrika Tengah): Seramai 29 pelajar disahkan maut manakala 36 lagi cedera parah selepas letupan pada Rabu mencetuskan insiden rempuhan di Sekolah Tinggi Barthelemy Boganda di Bangui, ibu negara Republik Afrika Tengah (CAR).
Ringkasan AI
- Seramai 29 pelajar maut dan 36 cedera parah dalam insiden rempuhan di Sekolah Tinggi Barthelemy Boganda, Bangui selepas letupan transformer kuasa berhampiran sekolah mengeluarkan gas beracun ketika peperiksaan berlangsung.
- Letupan menyebabkan panik dalam kalangan pelajar sehingga mencetuskan rempuhan; angka korban meningkat akibat ketiadaan tindak balas kecemasan yang teratur.
- Republik Afrika Tengah mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari dan laporan menekankan keperluan memperkukuh keselamatan di sekolah-sekolah.
Menurut Direktorat Perlindungan Awam CAR, kejadian berlaku pada 12.22 tengah hari waktu tempatan apabila sebuah transformer kuasa meletup berhampiran sekolah berkenaan ketika 5,311 pelajar sedang menduduki peperiksaan, lapor Xinhua pada Khamis.
Letupan itu telah mengeluarkan sejumlah besar gas beracun, menyebabkan kesukaran bernafas dan ada yang tidak sedarkan diri. Pelajar yang menjadi panik cuba melarikan diri sekali gus mencetuskan insiden rempuhan.
Menurut laporan itu, angka korban terus meningkat akibat ketiadaan tindak balas kecemasan yang teratur.
Sementara punca sebenar kejadian masih belum jelas, laporan tersebut menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh keselamatan di sekolah-sekolah.
Tempoh berkabung negara selama tiga hari telah diisytiharkan di CAR sejak Khamis bagi menghormati mangsa kejadian.
-- BERNAMA