TEHRAN: Seramai 84 orang disahkan terkorban manakala 284 lagi cedera dalam pengeboman berkembar di bandar Kerman di tenggara Iran pada Rabu, kata pegawai pada Khamis.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi semasa melawat lokasi kejadian berkata berdasarkan penilaian forensik seramai 84 orang disahkan terkorban setakat ini, lapor Agensi Anadolu.

Ramai mangsa yang cedera dilaporkan kritikal dan jumlah kematian mungkin meningkat.

Seramai 220 yang cedera telah dimasukkan ke beberapa hospital di wilayah pergunungan itu.

Pada Rabu, pegawai melaporkan seramai 103 orang maut manakala 140 lagi cedera.

Sekurang-kurangnya dua letupan kuat berlaku berdekatan dengan kawasan perkuburan. Ketika kejadian beribu-ribu orang sedang untuk memperingati ulang tahun keempat kematian bekas komander tertinggi tentera Iran Jeneral Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat di Baghdad pada Januari 2020.

Punca letupan masih disiasat dan tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Bercakap pada satu acara di Tehran pada Rabu, Presiden Ebrahim Raisi berkata kejadian itu dilakukan oleh mereka yang "pengecut" dan pihak berkuasa akan memastikan pelakunya dikenal pasti dan dibawa kemuka pengadilan.

-- BERNAMA