DUNIA

Letupan di utara Gaza ketika rundingan genjata senjata berlangsung

Astro Awani 20/07/2025 | 23:10 MYT
Beberapa siri letupan berlaku di utara Gaza berhampiran sempadan Israel pada petang Ahad, ketika rundingan gencatan senjata sedang berlangsung di Doha, Qatar. - Foto REUTERS
GAZA: Beberapa siri letupan berlaku di utara Gaza berhampiran sempadan Israel pada petang Ahad, ketika rundingan gencatan senjata sedang berlangsung di Doha, Qatar.

Tentera Israel dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa operasi ketenteraan masih diteruskan di bahagian utara Gaza, termasuk perluasan serangan di bandar Gaza melalui serangan darat dan udara.

Dalam pada itu, Israel dan Hamas kini terlibat dalam rundingan tidak langsung di Doha bagi mencapai cadangan gencatan senjata selama 60 hari yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat, serta perjanjian pertukaran tebusan yang dimediasi oleh Mesir dan Qatar.

Bagaimanapun, setakat ini tiada petanda jelas mengenai sebarang kemajuan dalam rundingan tersebut.

Dalam masa sama, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 67 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan tentera Israel ketika mereka sedang menunggu trak bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di utara Gaza.

Israel turut mengeluarkan arahan untuk berpindah baharu bagi kawasan yang padat dengan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Sebahagian besar wilayah Gaza musnah teruk selepas lebih 21 bulan konflik berterusan, dan kebimbangan terhadap isu kebuluran dilaporkan terus meningkat.






#gencatan senjata #Gaza #Israel #letupan