DUNIA
Letupan gunung berapi ganggu penerbangan ke Bali
Gunung Lewotobi Laki-laki menghamburkan asap dan abu seperti yang dilihat dari Kampung Kawalelo di wilayah Nusa Tenggara Timur. - Foto REUTERS
DENPASAR: Puluhan penerbangan ke dan dari pulau peranginan Bali dibatalkan selepas Gunung Lewotobi Laki-Laki di timur Indonesia meletus pada Selasa, memuntahkan abu setinggi 10 kilometer ke udara.
Menurut laman web rasmi Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, penerbangan yang terjejas termasuk Jetstar Asia, Virgin Australia, Singapore Airlines, TigerAir, Air India, Air New Zealand dan Juneyao Airlines dari China.
Beberapa penerbangan domestik AirAsia ke Labuan Bajo di Flores turut dibatalkan.
Gunung Lewotobi Laki-Laki, yang terletak di pulau Flores, merupakan gunung berapi berkembar setinggi 1,703 meter.
Pihak berkuasa telah menaikkan status amaran kepada tahap tertinggi selepas letusan berlaku, dan abu gunung berapi dilaporkan hujan ke atas beberapa kampung berhampiran, memaksa sekurang-kurangnya satu kampung dipindahkan.
Walaupun operasi di Ngurah Rai masih berjalan, pihak lapangan terbang menyatakan bahawa pembatalan bergantung kepada laluan dan keputusan syarikat penerbangan.
Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan besar.
Indonesia, yang terletak di Lingkaran Api Pasifik, kerap mengalami aktiviti seismik dan gunung berapi.
Letusan kali ini mengingatkan kembali kepada insiden pada November 2024, apabila gunung yang sama meletus beberapa kali dan menyebabkan sembilan kematian serta gangguan besar kepada penerbangan antarabangsa.