Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Letupan kilang di Rusia ragut 20 nyawa, 134 cedera

Astro Awani 18/08/2025 | 12:01 MYT
Pasukan penyelamat termasuk unit anjing pengesan telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan. -Foto Reuters
MOSCOW: Sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dan 134 lagi cedera dalam insiden letupan di sebuah kilang di wilayah Ryazan, Rusia, menurut kenyataan rasmi pihak berkuasa kecemasan negara itu pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Letupan di kilang wilayah Ryazan, Rusia menyebabkan sekurang-kurangnya 20 maut dan 134 cedera, termasuk 31 dirawat di hospital.
  • Kebakaran bermula di bengkel kilang dan memusnahkan sebahagian besar struktur; punca sebenar masih disiasat.
  • Pasukan penyelamat, termasuk unit anjing pengesan dan pakar psikologi, dikerahkan ke lokasi; kilang dikaitkan dengan penghasilan bahan letupan namun belum disahkan secara rasmi.


Letupan berlaku pada Jumaat di sebuah fasiliti industri di daerah Shilovsky, kira-kira 200 kilometer tenggara Moscow.

Gabenor wilayah Ryazan, Pavel Malkov, berkata insiden berpunca daripada kebakaran yang tercetus di dalam bengkel kilang berkenaan, namun punca sebenar masih belum dikenal pasti.

Daripada jumlah mangsa yang cedera, 31 orang sedang dirawat di hospital di Ryazan dan Moscow, manakala 103 lagi menerima rawatan pesakit luar.

Pasukan penyelamat termasuk unit anjing pengesan telah dikerahkan ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan.

Rakaman video yang dikeluarkan oleh Kementerian Kecemasan Rusia menunjukkan sebahagian besar struktur kilang musnah, dengan serpihan bangunan berselerak dan pasukan penyelamat bekerja tanpa henti.

Pakar psikologi turut digerakkan untuk memberikan sokongan emosi kepada penduduk tempatan yang terkesan.

Walaupun beberapa media tempatan melaporkan kilang tersebut mungkin menghasilkan bahan letupan, maklumat itu belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa Rusia.

Insiden ini merupakan antara tragedi industri paling buruk di Rusia dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca serta tahap keselamatan fasiliti tersebut.







#letupan kilang #Ryazan Rusia #pasukan penyelamat #Pavel Malkov