DUNIA

Letupan masjid di Nigeria ragut tujuh nyawa

Agensi 25/12/2025 | 02:30 MYT
Mangsa yang cedera akibat letupan ketika solat Maghrib di sebuah masjid menerima rawatan di Hospital Pakar Negeri Borno, Maiduguri, Nigeria, pada Khamis. - Gambar Reuters
MAIDUGURI: Satu letupan menggegarkan sebuah masjid di timur laut Nigeria ketika jemaah berkumpul untuk menunaikan solat Maghrib, mengorbankan dan mencederakan beberapa orang, menurut laporan media.

Insiden berlaku sekitar jam 6 petang Rabu (waktu tempatan) di bandar Maiduguri, Negeri Borno, lapor agensi berita Reuters dan AFP yang memetik saksi.

Jurucakap polis, Nahum Daso, mengesahkan kejadian dan memaklumkan pasukan pemusnah bom berada di lokasi masjid berkenaan yang terletak di Pasar Gamboru.

Setakat ini, tiada pengesahan rasmi mengenai jumlah korban.

Namun, imam masjid, Malam Abuna Yusuf, memberitahu AFP sekurang-kurangnya lapan orang terkorban, manakala seorang ketua milisi, Babakura Kolo, menyatakan angka kematian adalah tujuh orang.

Seorang saksi, Musa Yusha’u, pula berkata, dia melihat “ramai mangsa dibawa untuk rawatan.”

Punca letupan masih belum diketahui, tetapi ia berlaku di sebuah bandar yang menjadi pusat pemberontakan bersenjata oleh kumpulan Boko Haram dan cabang ISIL (ISIS) di rantau itu, iaitu Islamic State West Africa Province, sejak hampir dua dekad lalu.

Konflik tersebut telah meragut sekurang-kurangnya 40,000 nyawa dan menyebabkan kira-kira dua juta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak 2009, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun keganasan semakin berkurangan berbanding kemuncaknya sedekad lalu, ia turut merebak ke negara jiran seperti Niger, Chad dan Cameroon.

Kebimbangan juga semakin meningkat mengenai kebangkitan semula keganasan di beberapa kawasan timur laut, di mana kumpulan bersenjata masih berupaya melancarkan serangan maut meskipun operasi ketenteraan berterusan selama bertahun-tahun. - Agensi


#Nigeria #letupan masjid #bandar Maiduguri #tujuh maut