Skip to main content

Dunia

Letupan misteri gegar masjid Indonesia

Screenshot ANTARA Web
Pasukan keselamatan termasuk unit pemusnah bom telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar letupan. -Foto Antara News

JEMBER: Polis Indonesia sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian letupan misteri yang berlaku di sebuah masjid di perumahan Pesona Regency, daerah Patrang, ketika jemaah menunaikan solat sunat tarawih malam tadi.

Insiden yang berlaku kira-kira jam 7.30 malam waktu tempatan itu mengakibatkan kerosakan pada struktur bumbung dan almari buku masjid, selain mencetuskan panik dalam kalangan jemaah serta penduduk sekitar, lapor Antara News.

Advertisement

Menurut penjaga masjid, Muhammad Fadil, bunyi letupan yang sangat kuat itu turut didengari  penduduk di kampung berhampiran sehingga menyebabkan jemaah bergegas keluar menyelamatkan diri.

"Letupan itu sangat kuat dan kedengaran sehingga ke kampung sebelah," kata Muhammad Fadil ketika ditemui awal pagi Selasa.

Dia menambah bahawa letupan tersebut berlaku berhampiran kawasan tempat wuduk lelaki, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan kecuali seorang mangsa yang mengalami gangguan pendengaran akibat impak bunyi tersebut.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Jember, Penolong Komisioner Angga Riatma, mengesahkan bahawa pasukan keselamatan termasuk unit pemusnah bom telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengenal pasti punca sebenar letupan.

"Pihak polis telah mengawal kawasan kejadian dan memulakan siasatan bagi mencari punca letupan.

"Kami masih belum dapat menentukan puncanya dan sedang dalam proses menguruskan tempat kejadian," ujar beliau.

Pihak berkuasa turut mengarahkan pengurusan masjid menangguhkan sementara semua aktiviti keagamaan atas faktor keselamatan.

Penduduk setempat dinasihatkan agar bertenang dan tidak mendekati kawasan perimeter yang telah ditetapkan pihak polis bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Must Watch Video