Skip to main content

Dunia

Letusan Anak Krakatau: Indonesia perluas penutupan lapangan terbang, 150,000 penumpang terjejas

krakatau, airport
Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Banten adalah antara lapan lapangan terbang yang terjejas dan ditutup operasi semengtara berdasarkan situasi semasa. - AP
Advertisement

JAKARTA: Indonesia memperluas penutupan sementara lapangan terbang daripada enam kepada lapan selepas abu gunung berapi dari Anak Krakatau mengakibatkan perjalanan udara tergendala, sekali gus menjejaskan kira-kira 150,000 penumpang dan 467 penerbangan.

Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi berkata maklumat terkini daripada Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) sejurus selepas 5 petang waktu tempatan menunjukkan abu itu bergerak ke arah timur pada kelajuan lima knot pada aras penerbangan 15,000 kaki, selepas angin sebelum ini membawa abu berkenaan ke arah barat menuju Lautan Hindi.

“Selepas berkoordinasi, kami memutuskan kesemua lapan lapangan terbang ditutup sehingga tengah malam. Kami akan melihat bagaimana keadaannya pada tengah malam nanti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Terminal 1B Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta pada Ahad.

Setakat tengah hari, enam lapangan terbang yang terjejas ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Banten, Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, Lapangan Terbang Radin Inten II di Lampung, Lapangan Terbang Husein Sastranegara di Jawa Barat serta Lapangan Terbang Budiarto dan Pondok Cabe di Banten.

Penutupan itu kemudian diperluas meliputi Lapangan Terbang Taufik Kiemas dan Lapangan Terbang Atung Bungsu, kedua-duanya di Sumatera Selatan, menjadikan jumlah keseluruhan lapan lapangan terbang.

Dudy berkata ujian dijalankan setiap 30 minit di lapangan terbang yang terletak lebih jauh ke timur di seluruh Jawa bagi memantau sama ada taburan abu itu semakin meluas atau berkurangan.

Beliau berkata pihak berkuasa turut membuka Lapangan Terbang Kertajati, Semarang, Juanda, Yogyakarta dan Solo untuk operasi 24 jam sebagai alternatif, dengan pengangkutan darat termasuk perkhidmatan kereta api akan disediakan kepada penumpang sekiranya syarikat penerbangan memilih untuk menggunakan lapangan terbang berkenaan.

Daripada 467 penerbangan yang terjejas, 409 membabitkan penerbangan domestik dan 58 penerbangan antarabangsa. Dudy berkata syarikat penerbangan sedang membuat pengaturan masing-masing bagi penumpang yang terjejas, termasuk menyediakan penginapan hotel dalam kes tertentu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement