Letusan Gunung Kilauea: Kediaman musnah, penduduk diancam gas toksik dan aliran lahar

Agensi
Mei 6, 2018 14:57 MYT
Letusan baru menghamburkan lahar sehingga 70 meter ke udara dan menyebabkan lebuh raya retak di kawasan Leilani Estates - Reuters
Hampir 2,000 orang di Big Island, Hawaii telah dipindahkan dari kediaman masing-masing selepas letusan gunung berapi memuntahkan lahar seterusnya memusnahkan setiap objek yang dilaluinya termasuk lima rumah.
Sebaran gas sulfur dioksida turut mengancam dan membahayakan sesiapa yang tinggal di kawasan perumahan, lapor pegawai rasmi.
Letusan baru menghamburkan lahar sehingga 70 meter ke udara dan menyebabkan lebuh raya retak di kawasan Leilani Estates, kira-kira 19 kilometer dari gunung berapi Kilauea, kata Balai Cerap Gunung Berapi Hawaii.
Manakala sudut tenggara pulau itu digegarkan oleh gempa bermagnitud 6.9 pada Jumaat, iaitu yang terkuat sejak tahun 1975 dan dijangka lebih banyak gempa bumi dan letusan akan berlaku.
Kira-kira 1,500 isi kediaman telah dipindahkan di kawasan luar bandar dan setakat ini tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.
"Mereka yang tinggal di Leilani, Lanipuna Gardens dan di sepanjang Jalan Pohoiki perlu bersedia untuk berpindah kerana jika angin berubah gas boleh bertiup ke arah sana," kata amaran dari ahli Majlis County Hawaii, Eileen O'Hara dalam satu pengumuman di Facebook.
Bagaimanapun, pulau-pulau lain di negeri itu menjalankan perniagaan seperti biasa dan letusan berkenaan tiada kesan kepada penerbangan dan pusat pelancongan.
"Kawasan di mana lahar datang ke permukaan tanah rendah agak jauh dari kawasan peranginan," kata Presiden dan CEO Lembaga Pelancongan Hawaii, George Szigeti.
Walaupun tiada aliran lava yang signifikan terbentuk, ia dijangka boleh mencapai suhu kira-kira 1,150 Celsius, kata Badan Pertahanan Awam Hawaii County.
#bencana alam #gempa bumi #gunung berapi #Hawaii #Kemusnahan #kilauea