DUNIA

Libya adakan pengebumian ketua tentera, pegawai maut nahas pesawat di Turkiye

Agensi 27/12/2025 | 22:15 MYT
Perdana Menteri Libya, Abdul Hamid Dbeibah berucap pada majlis penghormatan pada Sabtu untuk pegawai tentera yang terkorban dalam nahas pesawat. - Gambar Reuters
TRIPOLI: Libya pada Sabtu mengadakan upacara pengebumian ketenteraan untuk ketua tentera wilayah barat negara itu bersama empat pegawai yang terkorban dalam nahas pesawat di Turkiye.

Jenazah mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli dalam keranda yang diselubungi bendera Libya, diiringi perarakan tentera sambil memegang potret mangsa.

Pesawat peribadi yang membawa Jeneral Mohammed Ali Ahmad Al-Haddad, empat pegawai tentera dan tiga kru terhempas pada Selasa selepas berlepas dari Ankara, ibu negara Turkiye, mengorbankan semua yang berada di dalamnya.

Pegawai Libya memaklumkan, nahas berpunca daripada kerosakan teknikal, namun siasatan masih dijalankan bersama pihak berkuasa Turkiye.

Perdana Menteri, Abdul Hamid Dbeibah dalam ucapan pengebumian memuji Al-Haddad kerana berjaya mengatur semula struktur ketenteraan “di sebalik cabaran besar dan kumpulan bersenjata haram.”

Al-Haddad memainkan peranan penting dalam usaha yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyatukan tentera Libya, yang berpecah seperti institusi negara itu.

“Para syuhada bukan sekadar pemimpin tentera, tetapi negarawan yang bijaksana, berdisiplin dan percaya bahawa membina institusi adalah jalan sebenar menuju Libya yang stabil dan selamat,” kata Dbeibah.

Pengebumian akan berlangsung pada Ahad di Misrata, kira-kira 200 kilometer dari Tripoli.

Nahas pesawat berkenaan berlaku ketika delegasi berkenaan dalam perjalanan pulang ke Tripoli selepas mengadakan rundingan pertahanan di Ankara bagi meningkatkan kerjasama ketenteraan.

Upacara penghormatan turut diadakan di pangkalan udara Murted berhampiran Ankara, dihadiri ketua tentera Turkiye dan Menteri Pertahanan negara itu.

Media Turkiye melaporkan, Ketua Turus Tentera Turkiye, Jeneral Selcuk Bayraktaroglu turut mengiringi jenazah ke Libya.

Dua kru warga Perancis yang mengendalikan pesawat Falcon 50 turut terkorban, menurut sumber diplomatik Perancis.

Pesawat Dassault Falcon 50 buatan Perancis itu disewa daripada syarikat berpangkalan di Malta, Harmony Jets.

Siasatan nahas sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Turkiye dengan kerjasama Perancis dan Jerman. - Agensi





#Libya #Ketua Tentera Libya maut #pesawat terhempas #Mohammed Ali Ahmad Al-Haddad