DUNIA

Liga Arab desak PBB kuatkuasakan resolusi keabsahan antarabangsa bagi akhiri perang Gaza

Bernama 29/09/2025 | 03:20 MYT
Menurut Khattabi, dekad berlalu masih menyaksikan peperangan dan krisis di pelbagai pelosok dunia, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti dan keupayaan PBB melaksanakan mandat yang diberikan.
KAHERAH: Liga Arab pada Ahad menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menguatkuasakan resolusi keabsahan antarabangsa bagi menamatkan perang di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Penolong Setiausaha Agung merangkap Ketua Sektor Media dan Komunikasi Liga Arab, Duta Ahmed Rashid Khattabi berkata, isu Palestin merupakan ujian getir kepada PBB berhubung keperluan mendesak melaksanakan resolusi keabsahan antarabangsa.

Beliau berkata, perkara itu termasuk menyokong arahan serta inisiatif yang telah ditetapkan bagi menamatkan perang di Gaza dan membendung pelanggaran penempatan di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur yang diduduki.

Khattabi menegaskan, kepentingan memperkukuh hala tuju ke arah penyelesaian berkekalan terhadap perjuangan sah rakyat Palestin berasaskan penyelesaian dua negara, yang menerima sokongan kukuh masyarakat antarabangsa, sekali gus membolehkan rakyat Palestin hidup bermaruah dalam sebuah negara berdaulat, merdeka dan bersatu.

Beliau menambah bahawa kegagalan Majlis Keselamatan PBB menghentikan pencerobohan Israel terhadap Gaza sejak Oktober 2023 menjadi contoh jelas kelemahan struktur dalam sistem antarabangsa, biarpun situasi kemanusiaan semakin parah dan tidak tertanggung.

Khattabi turut menekankan bahawa unsur kehidupan di Gaza telah musnah, dengan kemudahan perubatan, pendidikan dan media turut menjadi sasaran, selain keganasan, pembunuhan, ancaman serta penghijrahan besar-besaran akibat pengusiran ribuan rakyat Palestin ke destinasi tidak diketahui, yang menggambarkan kemunduran besar dan menjatuhkan maruah.

Beliau mengingatkan ulang tahun ke-80 penubuhan PBB, yang ditubuhkan pasca Perang Dunia Kedua menyaksikan kemusnahan besar-besaran serta jutaan korban, seharusnya mendorong negara yang menandatangani piagam untuk menunaikan tanggungjawab menyelamatkan generasi akan datang daripada bencana peperangan.

Katanya lagi, ia juga perlu menjadi peringatan untuk membina dunia di mana keamanan dan keselamatan dapat ditegakkan, diperkukuh dengan kerjasama dalam menghadapi cabaran utama.

Khattabi juga berkata, dekad berlalu masih menyaksikan peperangan dan krisis di pelbagai pelosok dunia, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti dan keupayaan PBB melaksanakan mandat yang diberikan.

-- BERNAMA



#Liga Arab #PBB #resolusi keabsahan antarabangsa #Perang Gaza