KAHERAH: Liga Arab mengecam sekeras-kerasnya serangan pengganas terbaharu yang dilakukan militia Houthi terhadap Arab Saudi, dengan serangan terkini menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh sehingga mengakibatkan orang awam terkorban dan cedera, lapor Agensi Akhbar Saudi (SPA).
Liga itu menegaskan bahawa tindakan menyasarkan kemudahan penerbangan awam dan membahayakan nyawa penumpang serta kakitangan merupakan peningkatan ketegangan yang berbahaya, melanggar undang-undang antarabangsa dan mengancam keselamatan lalu lintas udara antarabangsa serta keamanan dan kestabilan serantau.
Liga Arab mengulangi solidariti penuh dengan Arab Saudi serta sokongannya terhadap semua langkah sah yang diambil negara itu untuk melindungi keselamatan dan keutuhan wilayahnya, sambil menegaskan bahawa keselamatan Arab Saudi merupakan sebahagian yang tidak terpisahkan daripada keselamatan negara-negara Arab.
Liga itu turut merakamkan ucapan takziah kepada Arab Saudi dan keluarga mangsa serta mendoakan agar mereka yang cedera segera sembuh.
-- BERNAMA-SPA