DUNIA

Lima cedera akibat serangan beruang di tiga wilayah Jepun

Bernama 10/11/2025 | 13:33 MYT
Pihak berkuasa dan keselamatan Jepun sedang menjalankan pelbagai usaha untuk mengurangkan insiden serangan melibatkan beruang. - AP
TOKYO: Lima cedera diserang beruang di tiga wilayah Jepun pada Ahad, namun tiada mangsa mengalami kecederaan yang mengancam nyawa, menurut pihak berkuasa tempatan, lapor agensi berita Kyodo.

Di Wilayah Aomori, seorang pekerja kedai ramen berusia 57 tahun cedera dimuka selepas dicakar seekor beruang sepanjang kira-kira satu meter ketika keluar melalui pintu belakang kedai itu pada kira-kira 5 pagi, menurut pihak berkuasa di wilayah timur laut berkenaan.

Seorang wanita berusia 78 tahun turut cedera dicakar di muka di luar sebuah rumah di Gojome, Wilayah Akita - juga di timur laut Jepun - pada kira-kira 6.05 pagi akibat serangan beruang dengan saiz hampir sama.

Anak perempuan wanita itu berusia 50 tahun turut cedera di paha kiri selepas bergegas membantu ibunya apabila mendengar jeritannya, menurut polis.

Di Misato, dalam wilayah yang sama, seorang lelaki berusia 83 tahun diserang seekor beruang berhampiran pintu rumahnya pada kira-kira 6.30 pagi dan mengalami kecederaan di muka. Seekor lagi beruang dilihat berhampiran dan kedua-dua beruang itu kemudiannya meninggalkan kawasan berkenaan bersama-sama.

Di Wilayah Niigata, seorang lelaki dalam lingkungan usia 60-an membuat panggilan kecemasan pada kira-kira 7.20 pagi, melaporkan bahawa beliau dicakar di bahagian rusuk oleh seekor beruang dewasa sepanjang kira-kira satu meter yang tiba-tiba menerkam keluar dari semak.

Menurut Kementerian Alam Sekitar Jepun, serangan beruang pada tahun ini telah meragut 13 nyawa setakat Rabu, dengan lebih 100 orang diserang menjelang akhir September.

-- BERNAMA

#Jepun #Serangan beruang #hidupan liar #ancaman nyawa #keselamatan