DUNIA

Lima cedera dalam rusuhan antipendatang di sebuah bandar Sepanyol

Bernama 13/07/2025 | 22:00 MYT
Sekumpulan individu berkumpul di bandar Torre-Pacheco, Sepanyol, pada waktu malam untuk menyerang pendatang yang tinggal di kawasan itu. - Foto media sosial
MADRID: Kehadiran polis akan ditingkatkan di Bandar Torre-Pacheco, Sepanyol selepas lima individu cedera dalam rusuhan yang melibatkan kumpulan pelampau kanan yang menyasarkan pendatang, menurut kenyataan kerajaan pusat pada Ahad, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Seorang individu ditahan, menurut Mariola Guevara, wakil kerajaan di Wilayah Murcia, kepada penyiar nasional RTVE.

Sekumpulan individu disyaki daripada kumpulan pelampau kanan berkumpul di bandar berpenduduk kira-kira 40,000 orang itu pada waktu malam untuk menyerang pendatang yang tinggal di kawasan itu.

Menurut Datuk Bandar Pedro Angel Roca, polis berjaya menghalang konfrontasi secara langsung antara dua kumpulan itu.

Imej yang disiarkan di televisyen menunjukkan orang ramai membaling botol ke arah polis serta membakar tong sampah dan mendirikan halangan jalan.

Roca memaklumkan yang jumlah sebenar peserta rusuhan masih belum jelas, namun menegaskan kebanyakan mereka bukan berasal dari bandar itu.

Pelampau kanan disyaki pada asalnya merancang melalui media sosial untuk mengadakan "pemburuan pendatang" di Torre-Pacheco pada Rabu dan Khamis minggu hadapan, menurut Guevara.

"Ia berlaku lebih awal daripada yang dirancang, tetapi kami mengesannya dan bertindak," katanya tanpa mendedahkan bilangan anggota tambahan pasukan polis Guardia Civil yang akan dihantar ke bandar itu.

Rusuhan pertama dilaporkan tercetus pada Sabtu malam, menurut laporan media tempatan. Kejadian berlaku susulan laporan yang seorang pesara dipukul oleh sekumpulan pendatang dari Afrika Utara.

Pelampau kanan mengambil kesempatan daripada insiden itu yang masih dalam siasatan untuk menyamakan isu imigresen dengan jenayah, lapor akhbar nasional El Pais.

Ancaman terhadap keluarga Maghribi di Torre-Pacheco juga tersebar di media sosial sejak beberapa hari lalu, menurut laporan harian itu.

Pendatang mewakili kira-kira 30 peratus daripada populasi bandar yang terletak kira-kira 30 kilometer tenggara Murcia iaitu dua kali ganda purata kebangsaan Sepanyol, menurut akhbar El Mundo.

-- BERNAMA



#rusuhan antipendatang #sepanyol #rusuhan #pendatang