Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
DUNIA

Lima maut dalam insiden tembakan di universiti, sekolah Mississippi

Astro Awani 12/10/2025 | 04:15 MYT
Lima maut dan 15 cedera dalam dua insiden tembakan berasingan semasa sambutan 'homecoming' di Mississippi. -Gambar AP
JACKSON: Sekurang-kurangnya lima individu maut manakala 15 lagi cedera dalam dua insiden tembakan berasingan di institusi pendidikan di negeri Mississippi, Amerika Syarikat, semasa sambutan 'homecoming'.


Ringkasan AI
  • Lima maut dan 15 cedera dalam dua insiden tembakan berasingan semasa sambutan 'homecoming' di Mississippi
  • Tembakan berlaku di Alcorn State University dan pusat bandar Leland selepas perlawanan American football peringkat sekolah
  • Siasatan sedang dijalankan, tiada tangkapan dibuat dan beberapa mangsa cedera dalam keadaan kritikal


Insiden pertama berlaku di Alcorn State University di Lorman pada Sabtu sekitar jam 6.30 petang (waktu tempatan), apabila tembakan dilepaskan di Bangunan Teknologi Industri dalam kampus.

Menurut Biro Penyiasatan Mississippi (MBI), seorang mangsa disahkan maut manakala dua lagi cedera.

Pihak universiti segera mengeluarkan amaran kecemasan dan mengarahkan pelajar serta kakitangan untuk berlindung sehingga keadaan disahkan selamat oleh polis kampus.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Leland, empat individu maut dan 12 lagi cedera dalam insiden tembakan yang berlaku selepas perlawanan American football sempena sambutan 'homecoming' Sekolah Tinggi Leland.

Kejadian berlaku di kawasan pusat bandar ketika orang ramai berkumpul untuk meraikan kemenangan pasukan sekolah.

Datuk Bandar Leland, John Lee menyifatkan kejadian itu sebagai satu kehilangan besar buat komuniti setempat dan menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.

Siasatan kini dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan dengan bantuan Biro Penyiasatan Mississippi dan Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan (ATF).

Senator negeri, Derrick Simmons turut menyifatkan insiden tersebut sebagai tragedi besar dan menekankan keperluan untuk menangani isu keganasan senjata api yang semakin membimbangkan di negeri itu.

Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Beberapa mangsa yang cedera dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.








#insiden tembakan #Homecoming #Mississippi #Alcorn State University #Leland