NEW DELHI: Sekurang-kurangnya lima pelajar disahkan maut manakala puluhan lagi dikhuatiri masih terperangkap selepas sebuah bangunan asrama pelajar setinggi lima tingkat runtuh di kawasan Satya Niketan, berhampiran Kampus Selatan Universiti Delhi, pada Ahad.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari waktu tempatan di bangunan yang dikenali sebagai Hostel Daze, sebuah penginapan pelajar yang menempatkan ramai mahasiswa dari beberapa negeri di India.
Menurut pihak berkuasa, operasi mencari dan menyelamat berskala besar masih diteruskan sehingga lewat malam dengan anggota Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF), Pasukan Tindak Balas Bencana Negeri (SDRF), polis, bomba dan pasukan perubatan digerakkan ke lokasi.
Laporan awal menyatakan antara 40 hingga 50 orang dipercayai berada di dalam bangunan tersebut ketika ia runtuh.
Setakat ini, sekurang-kurangnya sembilan hingga 10 mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan, manakala beberapa lagi mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Institut Sains Perubatan India (AIIMS).
Pasukan penyelamat turut menurunkan silinder oksigen ke celah-celah runtuhan selepas menerima maklumat bahawa beberapa pelajar yang terperangkap masih dapat menghubungi keluarga dan pihak berkuasa melalui telefon bimbit.
Pihak polis berkata kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian sedang dijalankan di aras bawah tanah bangunan itu sebelum kejadian berlaku.
Penduduk tempatan mendakwa struktur berkenaan mungkin menjadi tidak stabil akibat penggalian untuk memperluaskan ruang asrama, selain kemungkinan asas bangunan terjejas akibat takungan air hujan dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Ketua Menteri Delhi, Rekha Gupta, berkata sebuah bangunan bersebelahan telah dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga dan menegaskan bahawa segala usaha sedang dilakukan untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap.
Beliau juga mengarahkan siasatan majistret dijalankan serta tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab.
Sementara itu, polis dilaporkan sedang mengesan pemilik bangunan berkenaan, manakala kes telah dibuka berkaitan kecuaian dan kegagalan memastikan keselamatan struktur bangunan.
Perdana Menteri India, Narendra Modi, turut melahirkan rasa dukacita terhadap tragedi itu dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, sambil memaklumkan bahawa pihak berkuasa sedang memberikan bantuan serta menyelaras operasi menyelamat di lokasi kejadian.
Satya Niketan merupakan kawasan penempatan pelajar yang padat dengan asrama dan rumah sewa berhampiran universiti.
Kejadian runtuhan bangunan bukan sesuatu yang luar biasa di Delhi, dengan ratusan insiden direkodkan setiap tahun, lazimnya berpunca daripada struktur uzur, bahan binaan berkualiti rendah atau kerja pengubahsuaian yang tidak mematuhi piawaian keselamatan.