DUNIA
Lima pemain hoki ais Kanada bebas tuduhan serangan seksual
ONTARIO: Lima pemain hoki ais Kanada yang dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita pada tahun 2018 telah dibebaskan oleh mahkamah di Ontario, dalam kes berprofil tinggi yang menarik perhatian seluruh negara.
Hakim Maria Carroccia membuat keputusan tersebut selepas meneliti keterangan dan bukti sepanjang lapan minggu perbicaraan, sebelum mengisytiharkan kesemua tertuduh tidak bersalah dalam prosiding yang berlangsung di mahkamah yang sesak pada Khamis.
Kelima-lima tertuduh - Michael McLeod, Dillon Dube, Cal Foote, Alex Formenton dan Carter Hart - merupakan bekas pemain pasukan hoki junior kebangsaan Kanada dan ketika dakwaan dibuat, mereka aktif dalam Liga Hoki Kebangsaan (NHL), kecuali seorang yang beraksi di Eropah.
Mereka dituduh menyerang seorang wanita dikenali sebagai EM di sebuah bilik hotel di London, Ontario, selepas menghadiri majlis anjuran Hockey Canada pada tahun 2018.Bagaimanapun, Hakim Carroccia memutuskan bahawa keterangan EM “tidak boleh dipercayai dan tidak meyakinkan” serta menyatakan bahawa pihak pendakwa tidak memenuhi beban bukti yang diperlukan dalam sebarang pertuduhan.
Isu utama dalam perbicaraan ialah sama ada EM, yang ketika kejadian berusia 20 tahun, telah memberikan persetujuan untuk semua aktiviti seksual yang berlaku malam itu.
Mahkamah diberitahu bahawa EM pada awalnya bersetuju untuk melakukan hubungan seks dengan McLeod, namun beberapa pemain lain kemudiannya turut serta dalam situasi yang dipertikaikan.
EM memberi keterangan bahawa dia berada dalam keadaan mabuk dan berasa takut, serta tidak bersetuju dengan tindakan susulan selepas hubungan awal itu.
Namun, dua video insiden yang ditunjukkan dalam mahkamah - salah satunya dirakam tanpa pengetahuannya - menunjukkan EM dalam keadaan “bercakap seperti biasa, tersenyum dan tidak kelihatan tertekan,” menurut hakim.
Walaupun di bawah undang-undang Kanada video tersebut tidak membuktikan persetujuan secara sah, hakim berpendapat ia mencabar hujah bahawa EM tidak meninggalkan bilik kerana takut.
Kelima-lima tertuduh tidak memberi sebarang kenyataan kepada media selepas keputusan diumumkan.
Peguam mereka bagaimanapun mengeluarkan kenyataan mewakili anak guam masing-masing.
Peguam David Humphrey, yang mewakili McLeod berkata, anak guamnya kini “lega” selepas berdepan tekanan awam selama bertahun-tahun akibat naratif yang berat sebelah.
Sementara itu, wakil EM, peguam Karen Bellehumeur berkata, anak guamnya mengikuti perbicaraan secara maya dan “amat kecewa” dengan penilaian hakim terhadap kredibilitinya.
“Apabila seseorang mengumpul keberanian untuk menceritakan kisahnya, perkara paling menyakitkan ialah apabila tidak dipercayai,” katanya.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwa bertegas bahawa EM memberikan keterangan yang boleh dipercayai, dan menyatakan bahawa “mabuk tidak bermaksud tidak boleh diharap.”
Mereka juga menolak sebarang motif pemalsuan cerita dan menjelaskan bahawa EM telah melaporkan kejadian itu kepada polis seawal tahun 2018, iaitu empat tahun sebelum memfailkan saman sivil terhadap Hockey Canada.
Pihak pendakwa turut berhujah bahawa pemain-pemain terlibat telah “menyusun naratif bersama” untuk mempertahankan diri, namun Hakim Carroccia menolak dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai “ingatan semula terhadap apa yang berlaku”.
Peguam bela pula menegaskan bahawa EM adalah peserta yang rela dan kemudian menyesal, serta menyatakan bahawa dalam kes ini, mabuk tidak semestinya bermaksud tidak mampu memberi persetujuan.
Dua saksi yang turut berada dalam bilik hotel malam itu tetapi tidak didakwa memberi keterangan bahawa wanita itu bersikap terbuka dan lantang mengenai kehendak seksualnya.
Di luar mahkamah, penyokong EM termasuk aktivis wanita hadir menunjukkan solidariti.
Seorang daripadanya, Fabienne Haller memberitahu BBC, dia berasa “hancur” dengan keputusan mahkamah.
Katanya, kes ini akan memberi kesan terhadap cara sistem perundangan Kanada menangani kes serangan seksual dalam dekad akan datang.
Buat masa ini, belum diketahui sama ada pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan. Pendakwa Meaghan Cunningham berkata pasukannya akan meneliti keputusan tersebut dengan teliti.
“Pendakwaan yang berjaya tidak semestinya diukur dengan sabitan semata-mata. Matlamat kami ialah untuk memastikan perbicaraan yang adil, bukan sahaja kepada tertuduh tetapi juga kepada EM,” ujarnya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami