Lima terbunuh, dua cedera parah dalam serangan peluru berpandu di Iraq

Agensi
September 29, 2020 12:12 MYT
Kediaman mereka pula dilaporkan musnah sepenuhnya. - Foto REUTERS
BAGHDAD: Sekurang-kurangnya lima terbunuh manakala dua lagi cedera parah selepas serangan peluru berpandu Katyusha dilancarkan berhampiran lapangan terbang Baghdad, Iraq pada Isnin.
Menurut pasukan tentera Iraq dalam satu kenyataan, ini merupakan serangan kali pertama sejak beberapa bulan yang menyebabkan kematian orang awam.
Jelasnya, serangan tersebut menyasarkan lapangan terbang tersebut namun ia kemudian mendarat di kawasan perumahan berdekatan.
Antara yang terkorban adalah tiga kanak-kanak dan dua wanita, manakala dua kanak-kanak dilaporkan cedera parah.
Kediaman mereka pula dilaporkan musnah sepenuhnya.
Kenyataan tersebut turut menyebut, serangan tersebut merupakan serangan 'pengecut' yang dilakukan sekumpulan penjenayah bertujuan mewujudkan kekacauan dalam kalangan orang ramai.
Susulan itu, Perdana Menteri, Mustafa al-Kadhimi mengeluarkan arahan tangkapan terhadap kumpulan yang terlibat dan menerima hukuman yang setimpal.
#Iraq #Baghdad #lapangan terbang #serangan peluru berpandu #Katyusha #Mustafa al-Kadhimi