JAKARTA: Pasukan penyelamat Indonesia sedang giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terhadap lapan individu, termasuk lima wartawan, yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan membuat liputan letusan Gunung Anak Krakatau.
Menurut Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas), kumpulan itu berlepas menaiki sebuah bot laju dari kawasan berhampiran Jakarta pada petang Isnin.
Namun sehingga kini mereka masih belum kembali dan pemilik bot juga tidak menerima sebarang maklumat daripada kru yang terlibat.
Kelima-lima wartawan tersebut ditugaskan untuk merakam gambar dan video letusan gunung berapi itu yang sejak Sabtu lalu menyebabkan beberapa lapangan terbang lumpuh serta menyelubungi Jakarta dan bandar-bandar sekitarnya dengan abu gunung berapi.
Mereka terdiri daripada petugas media tempatan dan antarabangsa termasuk agensi berita negara Antara, agensi berita milik kerajaan Turkiye Anadolu dan portal berita tempatan iNews.
Menurut Basarnas, salah seorang wartawan sempat menghubungi rakan sekerjanya serta berkongsi lokasi semasanya pada jam 3 petang Isnin, namun tiada lagi sebarang khabar diterima selepas itu.
Operasi mencari melibatkan anggota penyelamat, polis dan syarikat pemilik bot laju berkenaan.
Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Al Amrad berkata, bot tersebut membawa lima wartawan, dua anak kapal dan seorang pemandu pelancong.
Beliau turut dipetik stesen penyiaran Kompas TV sebagai berkata, operasi pencarian dihentikan pada Selasa sebelum disambung semula pada pagi Rabu.
Agensi berita Antara mengesahkan jurugambarnya, Muhammad Bagus Khoirunas, merupakan antara penumpang yang berada dalam bot yang dilaporkan hilang itu.
Menurut agensi berkenaan, pihaknya sedang berkoordinasi dengan pihak berkuasa untuk mendapatkan maklumat lanjut. Bagaimanapun, polis memaklumkan operasi pencarian berdepan kesukaran akibat keadaan laut bergelora dan jarak penglihatan yang terhad.
Kemalangan maritim merupakan antara insiden yang kerap berlaku di kepulauan Asia Tenggara itu, sebahagiannya disebabkan standard keselamatan yang longgar serta keadaan cuaca yang tidak menentu.
Pada Januari lalu, tiga pelancong warga Sepanyol maut selepas bot yang dinaiki mereka karam di perairan timur Indonesia.
Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun pula disenaraikan sebagai hilang dan dipercayai meninggal dunia selepas pihak berkuasa menghentikan operasi pencarian. - Agensi