DUNIA
Lisbon berkabung: 15 maut dalam tragedi kereta api funikular tergelincir
Anggota bomba mengusung mayat mangsa dengan pengusung di lokasi kemalangan kereta api funikular yang tergelincir di Lisbon, Portugal, pada Rabu. - Gambar AP
LISBON: Sekurang-kurangnya 15 maut manakala 18 lagi cedera selepas kereta api funikular bersejarah, Elevador da Gloria di ibu negara Portugal tergelincir dan merempuh bangunan berhampiran pada Rabu.
Pihak berkuasa belum mendedahkan identiti atau kewarganegaraan mangsa, namun mengesahkan sebahagian daripadanya pelancong asing.
“Hari ini adalah hari yang tragis buat bandar kami. Lisbon sedang berkabung. Ia satu insiden yang amat menyedihkan,” kata Datuk Bandar, Carlos Moedas kepada wartawan di lokasi kejadian.
Rakaman di tempat nahas menunjukkan gerabak berwarna kuning itu remuk selepas merempuh bangunan, manakala pasukan bomba berusaha mengeluarkan penumpang yang terperangkap.
Anggota kecemasan bekerja hingga larut malam untuk membersihkan runtuhan di laluan bukit curam yang menjadi tarikan utama di bandar bersejarah itu.
Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa menyampaikan ucapan takziah dan menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca tragedi.
Menurut Rejimen Bomba Lisbon, kejadian berpunca daripada kabel yang longgar sehingga menyebabkan trem berkenaan hilang kawalan sebelum merempuh bangunan.
Nahas itu berlaku sekitar jam 6 petang (waktu tempatan), ketika waktu sibuk.
Ikon bandar sejak 1885
Elevador da Gloria, yang mula beroperasi pada tahun 1885, menghubungkan daerah Baixa dengan kawasan Bairro Alto yang terkenal dengan pemandangan indah kota Lisbon.
Ia dikendalikan syarikat pengangkutan awam Carris dan merupakan salah satu daripada tiga laluan funikular bersejarah yang masih beroperasi, digunakan oleh penduduk tempatan dan pelancong.
Imej yang tular di media sosial menunjukkan sebuah gerabak terbalik di sisi landasan dengan serpihan berselerakan, manakala penumpang bertempiaran menyelamatkan diri.
Rakaman video CNN Portugal turut menunjukkan sebuah lagi gerabak bergegar kuat di landasan sebelum penumpang panik melompat keluar melalui tingkap.
Funikular itu beroperasi dengan sistem pemberat, menggunakan dua gerabak yang disambungkan dengan kabel dan digerakkan motor elektrik.
Dalam nahas kali ini, gerabak bahagian bawah dilaporkan masih utuh, namun gerabak atas mengalami kerosakan teruk.
Lisbon menyaksikan lonjakan kedatangan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutama pada musim panas, dengan jalan-jalan sempit dan kawasan bersejarah menjadi tumpuan.
Elevador da Gloria merupakan antara tarikan paling ikonik di ibu negara itu, dan nahas Rabu ini disifatkan sebagai salah satu tragedi pengangkutan paling buruk dalam sejarah moden Portugal. - Agensi