DUNIA

Lori tangki meletup, angka korban meningkat kepada 8

Bernama 12/09/2025 | 03:50 MYT
Lori tangki berkapasiti 49,500 liter itu terbalik di bawah jejambat lebuh raya sebelum meletup. - Gambar/ Reuters
MEXICO CITY: Seramai lapan mangsa meninggal dunia di hospital akibat kecederaan dialami manakala sekitar 20 orang lagi masih kritikal susulan letupan lori tangki di Mexico City, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Khamis memetik pegawai.

Ketua pertahanan awam tempatan, Myriam Urzua berkata jumlah mangsa yang cedera turut meningkat kepada kira-kira 90 orang.

Menurut Datuk Bandar Mexico City Clara Brugada lori tangki berkapasiti 49,500 liter itu terbalik di bawah jejambat lebuh raya sebelum meletup.

Letupan mengakibatkan gelombang kejutan dan menyebabkan sekurang-kurangnya 18 kenderaan terbakar.

Presiden Claudia Sheinbaum menyampaikan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku di kawasan kejiranan timur Santa Martha Acatitla di daerah Iztapalapa.

"Takziah kepada semua keluarga yang kehilangan insan tersayang," katanya pada sidang media hariannya.

Brugada berkata pejabat pendakwa sedang menyiasat punca sebenar kemalangan itu.

Menurut maklumat rasmi, pemandu trak tangki tersebut juga cedera parah dan kini dirawat di hospital.

Mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak kecil serta sekurang-kurangnya seorang bayi.

Foto dan video yang tular di media sosial memaparkan suasana cemas dengan mangsa melecur dalam keadaan pakaian koyak serta orang ramai menjerit sambil melarikan diri selepas letupan berlaku.

Pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran selepas beberapa jam, kata penyelaras pertahanan awam negara, Laura Velazquez kepada stesen televisyen N+.

-- BERNAMA


#Mexico #letupan lori tangki #angka maut #angka korban