DUNIA
Lubang benam Bangkok: Usaha elak runtuhan ke stesen kereta api bawah tanah dipergiat

Pada Rabu, kejadian mendapan tanah di Daerah Dusit, Bangkok menyebabkan terbentuknya lubang benam berhampiran Hospital Vajira. - Gambar/ AP
BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand kini bertungkus-lumus mengisi lubang benam sedalam 50 meter yang terbentuk di Jalan Samsen, Bangkok, bagi mengelakkan kejadian tanah mendap yang lebih serius.
Ringkasan AI
- Pihak berkuasa Thailand sedang berusaha menutup lubang benam sedalam 50 meter di Jalan Samsen, Bangkok dengan memasukkan 50,000 beg pasir bagi mengelakkan tanah mendap yang lebih serius dan melindungi struktur Stesen Kereta Api Bawah Tanah Hospital Vajira.
- Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt memaklumkan kerja penutupan terowong terganggu akibat syaf elektrik yang runtuh dan serpihan lain, namun menegaskan fokus utama adalah menghentikan aliran tanah dan kerosakan lanjut.
- Kejadian mendapan tanah berhampiran Hospital Vajira menyebabkan pemindahan penduduk dan gangguan lalu lintas, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Chadchart turut memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang terlibat dalam operasi pemulihan.
Pada Rabu, kejadian mendapan tanah di Daerah Dusit, Bangkok menyebabkan terbentuknya lubang benam berhampiran Hospital Vajira, memaksa pemindahan penduduk dan menyebabkan gangguan lalu lintas yang teruk. Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt, yang melawat lokasi kejadian lewat Rabu malam, memaklumkan terdapat syaf yang pecah kepada lima bahagian, serta serpihan lain seperti tiang elektrik, perlu dikeluarkan dari lubang benam bagi membolehkan kerja penutupan terowong diteruskan.
Beliau berkata halangan seperti itu boleh mengganggu proses menuang konkrit, penambakan tanah, pembaikan terowong dan pemulihan jalan.
"Semua perancangan dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Transit Massa (MRTA) dan kontraktor. Kami hanya sebagai pemerhati, membawa pasukan BMA untuk membantu di mana perlu," kata Chadchart.
Beliau turut menjelaskan yang kejadian di Jalan Samsen ini berbeza dengan kejadian runtuhan Bangunan Pejabat Audit Negara, yang meletakkan nyawa dalam risiko.
"Kali ini, ia adalah pertempuran dengan alam semula jadi iaitu melibatkan tanah, air, dan pasir. Fokusnya ialah menutup ruang-ruang yang membenarkan tanah mengalir ke bawah dan menghentikan kerosakan daripada terus berlaku," katanya.
Chadchart turut melawat kawasan kerja di sekitar lokasi kejadian bagi memberi semangat kepada petugas barisan hadapan yang usaha mereka sering tidak kelihatan, termasuk kakitangan pembekal air, pembekal internet yang menyambung semula talian, petugas perubatan yang bersiap-siaga, dan pekerja barisan hadapan lain.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami