DUNIA

Lubang benam: Struktur bangunan disahkan selamat, hospital Bangkok beroperasi semula

Astro Awani 26/09/2025 | 08:40 MYT
Hospital Vajira di Bangkok kembali beroperasi sepenuhnya selepas ditutup dua hari akibat kejadian lubang benam besar di hadapan bangunan. -Gambar fail/Agensi
BANGKOK: Hospital Vajira di Bangkok kembali beroperasi sepenuhnya hari ini selepas ditutup sementara selama dua hari berikutan kejadian lubang benam besar di hadapan premis tersebut yang mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan struktur bangunan.


Ringkasan AI
  • Hospital Vajira di Bangkok kembali beroperasi sepenuhnya selepas ditutup dua hari akibat kejadian lubang benam besar di hadapan bangunan.
  • Pemeriksaan jurutera mengesahkan struktur bangunan selamat, dan semua perkhidmatan kesihatan termasuk klinik selepas waktu pejabat telah disambung semula.
  • Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca kejadian, termasuk kaitan dengan pembinaan stesen MRT dan sistem saliran.


Institusi perubatan utama yang berafiliasi dengan Fakulti Perubatan Universiti Navamindradhiraj itu menggantung semua perkhidmatan pesakit luar dan menangguhkan lebih 3,500 janji temu sepanjang tempoh penutupan.

Setelah pemeriksaan struktur dijalankan oleh jurutera profesional, bangunan utama termasuk Bangunan Dipangkorn Rasmijoti disahkan selamat untuk digunakan.

Dekan Fakulti Perubatan, Dr Jakravoot Maneerit, memaklumkan bahawa semua perkhidmatan kesihatan termasuk klinik selepas waktu pejabat telah disambung semula hari ini.

Bagaimanapun, pihak hospital menasihatkan pesakit yang tidak memerlukan rawatan segera supaya menjadualkan semula janji temu dan menggalakkan penggunaan perkhidmatan dalam talian bagi pengisian semula preskripsi untuk mengurangkan kesesakan.

Dalam insiden menggemparkan pada pagi Rabu, 24 September itu, sebahagian Jalan Samsaen di daerah Dusit runtuh secara tiba-tiba, membentuk kawah sedalam 50 meter dan selebar 30 meter, dipercayai berpunca daripada hakisan tanah yang memasuki terowong pembinaan stesen MRT baharu berhampiran.

Menurut Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, runtuhan berlaku apabila siling stesen bawah tanah rosak, menyebabkan tanah di atasnya mengalir masuk ke ruang pembinaan dan menjejaskan kestabilan kawasan sekitar.

Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan, namun pihak berkuasa bertindak pantas menutup laluan dari persimpangan Vajira ke persimpangan Sanghi serta memindahkan pesakit dan penduduk berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga.

Pihak berkuasa kini giat menjalankan kerja-kerja pembaikan jalan dan siasatan menyeluruh terhadap punca kejadian, termasuk kemungkinan kaitan dengan sistem saliran dan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut baru-baru ini.

Perdana Menteri Thailand merangkap Menteri Dalam Negeri, Anutin Charnvirakul, telah mengarahkan siasatan segera dan menegaskan bahawa keselamatan awam adalah keutamaan.

Beliau turut meminta kerjasama pakar kejuruteraan dari pelbagai institusi untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.






#Bangkok #Hospital Vajira #struktur bangunan #perkhidmatan kesihatan #lubang benam