Skip to main content

Dunia

Lubnan sepakat mahu misi pengaman PBB kekal di selatan negara itu - Pegawai

Resolusi 1701 memberikan mandat kepada UNIFIL untuk memantau sempadan antarabangsa di sepanjang Garisan Biru, membantu mengenal pasti lokasi pertikaian yang menjadi pertikaian Lubnan serta memantau dan mendokumentasikan pelanggaran kedaulatan Lubnan oleh Israel setiap hari. - Foto REUTERS
Resolusi 1701 memberikan mandat kepada UNIFIL untuk memantau sempadan antarabangsa di sepanjang Garisan Biru, membantu mengenal pasti lokasi pertikaian yang menjadi pertikaian Lubnan serta memantau dan mendokumentasikan pelanggaran kedaulatan Lubnan oleh Israel setiap hari. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Speaker Parlimen Lubnan Nabih Berri menegaskan terdapat kesepakatan rasmi untuk mengekalkan Pasukan Interim PBB (UNIFIL) dan meneruskan misinya di selatan Lubnan.
  • Berri menekankan mandat UNIFIL di bawah Resolusi 1701 termasuk memantau sempadan, mendokumentasi pelanggaran Israel, serta menjalankan peranan kemanusiaan dan sosial.
  • Majlis Keselamatan PBB telah memutuskan mandat UNIFIL akan ditamatkan pada 31 Disember 2026, diikuti pengunduran secara berperingkat dalam tempoh setahun.

BEIRUT: Speaker Parlimen Lubnan Nabih Berri berkata pada Rabu bahawa terdapat kesepakatan rasmi di negara itu untuk mengekalkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan meneruskan misinya di selatan negara itu selaras dengan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Agung PBB bagi Operasi Keamanan Jean-Pierre Lacroix di Beirut, Berri berkata Lubnan akan meneruskan usaha di semua peringkat “bagi mempertahankan hak kedaulatannya, melindungi sempadannya dan membebaskan setiap inci terakhir wilayahnya daripada pendudukan Israel”.

Dalam satu kenyataan, Berri berkata Resolusi 1701 memberikan mandat kepada UNIFIL untuk memantau sempadan antarabangsa di sepanjang Garisan Biru, membantu mengenal pasti lokasi pertikaian yang menjadi pertikaian Lubnan serta memantau dan mendokumentasikan pelanggaran kedaulatan Lubnan oleh Israel setiap hari.

Resolusi itu diterima pakai oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ogos 2006 bagi mewujudkan kerangka antarabangsa untuk menamatkan permusuhan antara Israel dengan Hizbullah ketika itu.

Berri berkata peranan UNIFIL “melangkaui hal keselamatan dan ketenteraan, merangkumi kegiatan kemanusiaan, sosial, kebudayaan dan ekonomi”.

Beliau berkata terdapat kesepakatan rasmi Lubnan untuk “mengekalkan kehadiran pasukan antarabangsa dan misi mereka”, sambil merujuk kepada usaha Parlimen untuk menjalin hubungan dengan masyarakat antarabangsa dan PBB berhubung perkara itu.

Menurut kenyataan berkenaan, Berri dan Lacroix turut membincangkan situasi keseluruhan di Lubnan, khususnya perkembangan di lapangan dalam kawasan operasi UNIFIL di selatan negara itu, ketika serangan Israel dan pelanggaran Resolusi 1701 terus berlaku.

Mereka turut membincangkan pendirian bersama Lubnan yang menggesa mandat pasukan antarabangsa itu dilanjutkan di selatan negara itu dengan cara yang memenuhi kepentingan negara itu dan rantau berkenaan.

UNIFIL ditubuhkan pada 1978 susulan pencerobohan Israel ke selatan Lubnan. Mandatnya diperluas dengan ketara selepas perang pada Julai 2006 menerusi Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.

Pada Ogos 2025, Majlis Keselamatan PBB memutuskan untuk menamatkan mandat UNIFIL pada 31 Dis 2026, selepas itu proses pengurangan anggota dan pengunduran secara berperingkat, selamat serta teratur akan dimulakan dalam tempoh setahun.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement