Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Lubnan tanggung kerugian AS$2 bilion susulan serangan Israel

Lubnan
Impak kemusnahan tersebut memberi kesan besar kepada ekonomi domestik termasuk kehilangan pekerjaan, gangguan sektor pembuatan serta kejatuhan industri pelancongan. -Gambar fail/AP

BEIRUT: Lubnan mengalami kerugian ekonomi sekitar AS$2 bilion (kira-kira RM7.86 bilion) susulan peningkatan serangan ketenteraan Israel sejak awal Mac lalu.

Menteri Ekonomi Lubnan, Amer Bisat berkata impak kemusnahan tersebut memberi kesan besar kepada ekonomi domestik termasuk kehilangan pekerjaan, gangguan sektor pembuatan serta kejatuhan industri pelancongan.

“Kesan serangan ini amat besar. Sektor pertanian terjejas teruk kerana ladang tidak lagi menghasilkan hasil, syarikat pembuatan terpaksa ditutup dan pelancong tidak datang,” katanya dalam temu bual bersama Al Jazeera.

Menurut beliau, jumlah kerugian itu bersamaan kira-kira tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Lubnan.

Situasi tersebut dilaporkan memburukkan lagi krisis kewangan sedia ada, dengan rantaian bekalan makanan dan ubat-ubatan ke wilayah selatan hampir terputus.

Kenyataan itu dibuat selepas Setiausaha Agung Hezbollah, Naim Qassem, menegaskan kumpulan pejuang berkenaan tidak akan melucutkan senjata sebagai syarat rundingan damai.

Sebaliknya, beliau menyatakan Hezbollah menuntut pengunduran penuh tentera Israel dari wilayah yang diduduki serta pelaksanaan pelan pembinaan semula infrastruktur Lubnan yang terjejas.

Must Watch Video