DUNIA

Lubnan tarik balik larangan perjalanan terhadap anak Gaddafi, kurangkan ikat jamin kepada AS$900,000

Agensi 08/11/2025 | 00:20 MYT
Pihak berkuasa kehakiman Lubnan telah menarik balik larangan perjalanan dan mengurangkan jumlah ikat jamin terhadap Hannibal Gaddafi (gambar), anak kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. - Gambar fail AP
BEIRUT: Pihak berkuasa kehakiman Lubnan telah menarik balik larangan perjalanan dan mengurangkan jumlah ikat jamin terhadap Hannibal Gaddafi, anak kepada bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, sekali gus membuka jalan kepada pembebasannya selepas hampir sedekad ditahan tanpa perbicaraan.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas delegasi Libya mengadakan lawatan rasmi ke Beirut dan mencapai kemajuan dalam rundingan pembebasan Hannibal yang ditahan sejak 2015 atas dakwaan menyembunyikan maklumat berhubung kehilangan ulama Syiah Lubnan, Musa al-Sadr, pada 1978.

Pada Oktober lalu, seorang hakim Lubnan menetapkan ikat jamin sebanyak AS$11 juta dan melarang Hannibal daripada meninggalkan negara itu.

Namun pada Khamis, jumlah itu dikurangkan kepada 80 bilion pound Lubnan (kira-kira AS$900,000) dan larangan perjalanan turut ditarik balik.

Menurut peguamnya, Hannibal dijangka meninggalkan Lubnan sebaik sahaja bayaran ikat jamin diselesaikan.

Peguam Perancis beliau, Laurent Bayon berkata, keputusan mahkamah untuk tidak mengenakan pampasan kepada keluarga mangsa menunjukkan Hannibal tidak bersalah dalam kes kehilangan al-Sadr.

Ketika kejadian, Hannibal baru berusia dua tahun.

Hannibal sebelum ini menetap di Syria bersama isterinya model Lubnan, Aline Skaf dan anak-anak sebelum diculik oleh kumpulan bersenjata Lubnan pada 2015.

Beliau kemudiannya diselamatkan oleh polis dan ditahan di penjara Beirut sejak itu.

Kes kehilangan Musa al-Sadr kekal menjadi isu sensitif di Lubnan.

Keluarganya percaya beliau masih hidup dan ditahan di penjara Libya, walaupun kebanyakan rakyat Lubnan menganggap beliau telah meninggal dunia.

Al-Sadr merupakan pengasas gerakan Amal yang memainkan peranan penting dalam perang saudara Lubnan yang bermula pada 1975. - Agensi


#lubnan #anak Muammar Gadafi #Hannibal Gaddafi #ikat jamin Hannibal Gaddafi