Skip to main content

Dunia

Lubnan tidak mahu terperangkap dalam konflik serantau - Duta

KUALA LUMPUR, 7 April -- Duta Besar Lubnan Ke Malaysia Maher Kheir mengadakan kunjungan hormat ke Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini, hari ini.  Dalam pertemuan selama 45 minit itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai isu semasa serta meneroka potensi untuk memperkukuh kerjasama media dan komunikasi antara Lubnan (NNA Lebanon) dan Malaysia (Bernama).  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA  KUALA LUMPUR, April 7 -- The Ambassador of Lebanon to Malaysia, Maher
Duta Besar Lubnan Ke Malaysia Maher Kheir berkata negara itu kini berdepan situasi berbahaya akibat perpecahan dalaman dan ketegangan serantau yang tidak menentu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Lubnan enggan diheret ke dalam konflik Asia Barat yang lebih meluas, selepas Israel memperhebat serangan ke atas wilayah negara itu meskipun perjanjian gencatan senjata selama dua minggu dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran pada Selasa.

Duta Lubnan ke Malaysia Maher Kheir berkata negara itu kini berdepan situasi berbahaya akibat perpecahan dalaman dan ketegangan serantau yang tidak menentu, menimbulkan cabaran belum pernah berlaku terhadap kedaulatan serta kestabilannya.

Advertisement

“Lubnan sedang melalui fasa yang amat genting, apabila perpecahan dalaman bertembung dengan perkembangan di lapangan dan tekanan serantau.

“Kami tidak mahu diheret ke dalam perang,” katanya kepada Bernama mengulas perkembangan situasi di rantau itu.

AS dan Iran mencapai perjanjian gencatan senjata selama dua minggu selepas 40 hari pertempuran sengit yang turut merebak ke negara-negara Teluk, Jordan, Iraq dan Lubnan.

Iran menegaskan bahawa gencatan senjata itu mesti merangkumi penghentian serangan ke atas Lubnan, namun Tel Aviv secara terang-terangan mengabaikannya dengan menyatakan bahawa gencatan senjata itu tidak meliputi wilayah Lubnan.

“Laporan awal menunjukkan sekurang-kurangnya 250 orang awam terbunuh dan lebih 1,000 lagi cedera semalam sahaja (8 April).

“Israel mengebom Lubnan lebih 100 kali dalam tempoh 10 minit walaupun selepas gencatan senjata diumumkan. Serangan itu antara yang paling dahsyat sejak permulaan peningkatan ketegangan semasa,” kata Kheir.

Pihak berkuasa Lubnan melaporkan sekurang-kurangnya 1,497 orang terbunuh manakala 4,639 lagi cedera dalam serangan ganas Israel sejak serangan rentas sempadan yang menyasarkan kumpulan Hizbullah disambung semula pada 2 Mac, meskipun gencatan senjata dikuat kuasa pada November 2024.

Kheir berkata serangan itu telah mengheret Lubnan ke dalam konfrontasi ketenteraan yang tidak menguntungkan negara itu, sekali gus mendorong kerajaan mengharamkan kegiatan ketenteraan kumpulan berkenaan di negara itu.

Di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak, kerajaan Lubnan turut mengusir duta Iran pada bulan lepas.

“Kerajaan menegaskan semula keperluan untuk menghormati kuasa serta kedaulatan negara, dan mengelakkan daripada diheret ke dalam konflik serantau yang tidak melibatkan Lubnan,” kata Kheir.

Peningkatan ketegangan itu terus memburukkan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di selatan Lubnan, dengan 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan tentera Israel.

Kheir berkata dengan kawasan kediaman musnah dan infrastruktur kritikal rosak, ramai penduduk terpaksa tidur di jalanan.

“Israel sedang melaksanakan dasar pemusnahan meluas terhadap infrastruktur kediaman di kawasan yang disasarkan, selain cubaan mewujudkan realiti baharu di selatan Sungai Litani dengan membentuk zon penampan bagi menghalang penduduk daripada kembali.

“Ini boleh membawa kepada perubahan demografi di Lubnan serta mewujudkan titik-titik ketegangan baharu di pelbagai wilayah,” katanya.

Duta itu turut merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya menyalurkan bantuan kemanusiaan segera akibat kekurangan tempat perlindungan, makanan, bekalan perubatan dan keperluan asas lain yang semakin kritikal.

Beliau juga berkata bahawa terdapat petunjuk Israel cuba mengasingkan medan konflik di Lubnan daripada konfrontasi serantau yang lebih luas dengan Iran, sekali gus membolehkannya bertindak mengikut agenda sendiri.

“Ini menambahkan lagi kerumitan situasi dalaman Lubnan dan mendedahkan negara itu kepada risiko peningkatan ketegangan sekiranya krisis ini tidak ditangani melalui saluran diplomatik.

“Kami menggesa masyarakat antarabangsa membantu menghentikan perang terhadap Lubnan ini,” kata beliau.

-- BERNAMA

Must Watch Video