FRANKFURT: Syarikat penerbangan nasional Jerman, Lufthansa, tidak menjangkakan pembatalan penerbangan berikutan kekurangan bahan api kerosin di hab utamanya di Frankfurt, kata seorang jurucakap pada Khamis, lapor agensi berita Jerman dpa.
Syarikat itu mengarahkan kru penerbangannya supaya mengisi bahan api tambahan bagi penerbangan menuju ke Frankfurt untuk menambah semula stok dan memastikan operasi penerbangan berjalan lancar.
“Ini semata-mata langkah berjaga-jaga,” kata jurucakap itu.
Langkah berkenaan sudah menunjukkan kesan positif dan syarikat itu menjangkakan ia dapat dihentikan dalam masa terdekat.
Menurut Lufthansa, bekalan yang berkurangan di lapangan terbang terbesar Jerman itu berpunca daripada kapasiti saluran paip kerosin yang terhad, dengan satu daripada saluran paip berkenaan sedang menjalani kerja penyelenggaraan, seperti yang disahkan oleh pengendali lapangan terbang, Fraport.
Akhbar tabloid Bild melaporkan bahawa paras air yang rendah di Sungai Rhine turut menjadi faktor yang menjejaskan bekalan, memandangkan kapal tangki hanya dapat belayar di sungai itu secara terhad.
Fraport merujuk kepada kemudahan saluran paip dan penyimpanan sedia ada yang direka untuk menampung permintaan selama kira-kira 10 hari.
“Keupayaan operasi lapangan terbang itu tidak terjejas,” kata jurucakap Fraport. Beliau menambah bahawa penumpang tidak perlu bimbang.
-- BERNAMA-dpa