[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Lula gesa BRICS perkukuh hubungan dagangan ketika tarif global menekan

Agensi 08/09/2025 | 23:50 MYT
Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva melambaikan tangan ketika menghadiri perarakan Hari Kemerdekaan di Brasilia, Brazil, pada 7 September lalu. - Gambar Reuters
BRASILIA: Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva pada Isnin menggesa negara-negara anggota BRICS memperkukuhkan integrasi perdagangan dan kewangan bagi mengurangkan kesan dasar perlindungan perdagangan global.

“Ugutan tarif kini dinormalisasikan sebagai alat untuk menawan pasaran dan mencampuri urusan dalaman,” kata Lula dalam ucapan yang diterbitkan kerajaan sempena mesyuarat maya pemimpin BRICS, tanpa merujuk secara langsung kepada Amerika Syarikat (AS).

Menurut Lula, negara-negara BRICS kini menjadi “mangsa amalan perdagangan yang tidak adil dan menyalahi undang-undang.”

Brazil dan India antara negara paling terkesan dengan tarif yang dikenakan Presiden AS, Donald Trump, selain sekatan baharu terhadap Rusia susulan perang di Ukraine yang dijangka memberi kesan besar.

Perdana Menteri India, Narendra Modi pula menegaskan peningkatan halangan perdagangan dan usaha mengaitkan langkah dagangan dengan isu bukan perdagangan tidak akan membantu.

Tarif AS bebankan eksport Brazil dan India

Dalam wawancara bersama Reuters bulan lalu, Lula menyatakan hasratnya untuk membangkitkan isu tarif Trump dalam sidang BRICS.

Eksport Brazil berdepan levi setinggi 50 peratus, yang menurut Trump, berkait dengan apa yang digelar sebagai “pemburuan penyihir” terhadap sekutunya, bekas Presiden Jair Bolsonaro, yang kini dibicarakan atas dakwaan merancang rampasan kuasa.

India turut berdepan tekanan apabila tarif AS ke atas barangan negara itu digandakan bulan lalu hingga mencecah 50 peratus, sebagai tindak balas kepada keputusan New Delhi meneruskan import minyak Rusia.

Sementara itu, Presiden China, Xi Jinping menegaskan, beberapa negara telah melancarkan perang dagangan dan tarif yang menjejaskan ekonomi dunia serta melemahkan peraturan perdagangan antarabangsa.

Perbincangan BRICS

Mesyuarat maya selama sejam setengah itu menghimpunkan pemimpin dari Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Indonesia, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Ethiopia, menurut kenyataan kerajaan Brazil.

Perbincangan tertumpu kepada risiko peningkatan langkah unilateral, khususnya dalam perdagangan antarabangsa, selain mencari jalan untuk memperkukuh solidariti, koordinasi dan kerjasama dagangan sesama negara BRICS. - Agensi




#BRICS #tarif Amerika Syarikat #Presiden Brazil #Luiz Inacio Lula da Silva