DUNIA

Lyle & Erik Menendez gagal parol, kes gempar bunuh ibu bapa 1989 terus jadi tumpuan

Astro Awani 23/08/2025 | 04:39 MYT
Adik beradik Lyle (kanan) dan Erik Menendez (kiri) dinafikan parol oleh Lembaga Parol California dalam sabitan kes pembunuhan ibu dan bapa mereka di rumah mewah Beverly Hills pada 1989. -Gambar fail/Reuters
CALIFORNIA: Lyle Menendez, salah seorang daripada dua beradik yang terkenal dengan kes pembunuhan ibu bapa mereka pada tahun 1989, telah dinafikan parol oleh Lembaga Parol California, hampir empat dekad selepas jenayah itu menggemparkan Amerika Syarikat dan dunia.


Ringkasan AI
  • Lyle Menendez dinafikan parol oleh Lembaga Parol California sehari selepas adiknya Erik, walaupun hukuman mereka telah dikurangkan kepada 50 tahun hingga seumur hidup.
  • Permohonan ditolak kerana Lyle masih menunjukkan tingkah laku antisosial seperti penggunaan telefon bimbit haram dan pelanggaran peraturan penjara antara 2018-2024.
  • Kes Menendez terus menarik perhatian umum selepas siri dokumentari Netflix pada 2024, sementara peguam keluarga berhasrat meneruskan proses pemulihan dan permohonan semula.


Keputusan itu dibuat hanya sehari selepas adiknya, Erik Menendez, turut gagal dalam permohonan parolnya.

Kedua-dua mereka kini menjalani hukuman penjara seumur hidup di Penjara Richard J. Donovan, San Diego, selepas disabitkan atas pembunuhan Jose dan Kitty Menendez di rumah mewah keluarga mereka di Beverly Hills.

Lyle, 57, menghadiri sesi parol secara maya dan menyatakan rasa kesal terhadap jenayah yang dilakukan.

“Saya amat menyesal atas segala keperitan yang berpunca daripada tindakan saya. Ibu dan ayah saya tidak sepatutnya mati pada hari itu,” katanya dalam kenyataan penutup penuh emosi.

Namun, Lembaga Parol menolak permohonan tersebut atas alasan Lyle masih menunjukkan ciri-ciri tingkah laku antisosial, termasuk penggunaan telefon bimbit secara haram dari tahun 2018 hingga 2024, serta pelanggaran peraturan penjara lain seperti memiliki pemetik api dan barangan tidak dibenarkan.

Walaupun hakim telah mengurangkan hukuman mereka pada Mei lalu kepada 50 tahun hingga seumur hidup, menjadikan mereka layak memohon parol, kedua-dua beradik itu masih dianggap berisiko tinggi kepada keselamatan awam oleh pihak berkuasa.

Peguam keluarga Menendez menyatakan kekecewaan terhadap keputusan tersebut tetapi menegaskan bahawa proses pemulihan dan permohonan semula akan diteruskan.

“Kami tahu mereka telah berubah dan menyesal. Ini bukan pengakhiran,” kata wakil keluarga dalam kenyataan media.

Gabenor California, Gavin Newsom, masih mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, namun belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

Kes Menendez terus menarik perhatian umum, terutamanya selepas siri dokumentari Netflix “Monsters: The Lyle and Erik Menendez Story” ditayangkan pada 2024, yang membangkitkan semula perdebatan tentang penderaan keluarga dan keadilan jenayah.





#Lyle Menendez #dinafikan parol #Erik Menendez #bunuh ibu bapa